16/04/14
PKR: Pasukan Saifuddin tawar diri menangi PRU14
PETALING
JAYA: Pasukan 'Masa Depan Bersama' yang terdiri daripada tiga calon
pemilihan PKR - Datuk Saifuddin Nasution, Nurul Izzah Anwar dan Rafizi
Ramli hari ini menawarkan diri untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14).
Menurut Saifuddin yang juga Setiusaha
Agung PKR dan calon Timbalan Presiden, selain pilihan raya, pemilihan
parti juga harus menampilkan calon yang diyakini oleh pengundi di
samping berjaya mengemukakan gagasan untuk memenangkan PKR dan Pakatan
Rakyat (PR).
Beliau turut membentangkan gagasan yang
merupakan tiga tumpuan khusus parti itu bagi memenangi PRU14 seandainya
beliau dan pasukannya berjaya memenangi jawatan yang dipertandingkan
pada pemilihan PKR Mei nanti.
"Gagasan yang dibentangkan perlulah
praktikal dan bukan retorik politik tentang siapa lebih setia atau siapa
yang lebih bersih. Oleh yang demikian, saya mengambil peluang untuk
menjadi calon pertama yang membentangkan pelan khusus memenangi pilihan
raya untuk dinilai oleh anggota parti dan pengundi," katanya dalam satu
sidang media di ibu pejabat PKR pada Selasa.
Beliau memaklumkan, tiga tumpuan khusus
tersebut telah digariskan bersama oleh ketiga-tiga calon dalam
pasukannya setelah mengambil pengajaran dari semua pilihan raya yang
lepas.
Jelas Saifuddin, tumpuan pertama ialah
menarik pimpinan muda dari pelbagai latar belakang serta kepakaran di
mana PRU14 merupakan detik penting bagi pengundi muda yang dianggarkan
60 peratus di bawah umur 30 tahun menentukan hala tuju negara.
Katanya lagi, para pemimpin PKR juga
harus mendekati golongan ini melalui isu yang dekat kepada pengundi muda
melalui pelbagai pendekatan.
Kata beliau, usaha lebih kencang dan
tersusun perlu dilakukan dalam mendepankan pemimpin muda dengan
memberikan fungsi penting di dalam parti.
Tumpuan yang kedua, Saifuddin
mencadangkan agar rundingan kerusi bagi setiap calon yang bertanding
dalam PRU14 perlu dimuktamadkan selewat-lewatnya pada Mac 2015.
Jelas beliau, perkara ini membolehkan
calon-calon yang bakal bertanding diberikan tauliah awal untuk membina
nama baik di kalangan pengundi dan membina jentera pilihan raya serta
mengelakkan kekecewaan saat akhir oleh calon.
Tegas Saifuddin, beliau akan terus
bersuara di dalam parti untuk memastikan sistem pencalonan yang
digunakan sekarang, diubah sepenuhnya.
"Rundingan kerusi dengan DAP dan PAS
perlu dimulakan segera dan dimuktamadkan tahun ini. Ini memberikan ruang
kepada PKR untuk memilih dan menyaring calon seawal Ogos 2014 dan mula
diberikan tauliah untuk berkhidmat di kerusi masing-masing,"
Sementara itu, mengulas tentang tumpuan
ketiga, Saifuddin berkata Pakatan Rakyat (PR) perlu berdepan dengan isu
perkauman yang dikatakan dimainkan untuk menakutkan pengundi Melayu.
"Serangan ini perlu dijawab dengan
tersusun. Ia perlu dijawab oleh pimpinan Melayu dari PKR dan rakan dari
PAS dan DAP yang berdaya intelek tinggi dan berkeyakinan untuk
menunjukkan bahawa Melayu yang adil akan menjadi yakin dan tidak takut
untuk bersaing dengan bangsa-bangsa lain," katanya.
Katanya PKR sendiri juga perlu
mengukuhkan kempen secara dakwah mempertahankan kedudukan Islam tanpa
menjejaskan orang bukan Islam mengamalkan ajaran mereka di negara ini.
Tambah Saifuddin jika ketiga-tiga perkara tersebut dapat dilaksanakan dengan baik, peluang memenangi PRU14 amat cerah.
Pada Isnin lepas, kempen menjelang
pemilihan PKR telah menyaksikan tiga calon mereka iaitu Saifuddin
Nasution, Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar bergabung bagi membentuk
sebuah pasukan bagi merebut jawatan yang dipertandingkan.
Menurut Saifuddin, kempen yang
bertemakan 'Masa Depan Bersama' adalah satu iltizam serta hasrat untuk
mengundang pengembelengan kekuatan dan potensi luar dan dalam parti.
0 orang berkata:
Post a Comment