• Peluang cerah jayakan hudud  
  • Abdul Hadi diiringi Saiful Bahri (tengah) menyampaikan anugerah kepada ahli veteran Pas Kemaman di Ijtimak Kepimpinan Pas Negeri Terengganu 2014, semalam.
1 / 1
KEMAMAN – Pas yakin pelaksanaan hukum hudud di Kelantan dan negara ini menjadi kenyataan berdasarkan respons serta kenyataan positif secara terbuka daripada banyak pihak, termasuk kepimpinan tertinggi Umno.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, bukan sahaja orang Islam malahan orang bukan Islam ketika ini sudah ada yang menerima dan bersetuju jika hukum hudud dilaksanakan.

“Melihat kepada kenyataan-kenyataan terbuka daripada Kerajaan Negeri Kelantan khususnya, pimpinan (tertinggi) Umno dan di peringkat Parlimen, ia menunjukkan respons yang sangat positif (berbanding situasi sebelum ini) dan kita sambut baik.

“Diharapkan kenyataan positif yang dikeluarkan ramai pihak ini dapat melancarkan (proses) pelaksanaan hukum hudud agar ia menjadi kenyataan,” katanya mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa BN bersedia  meneliti secara mendalam usul pelaksanaan hukum tersebut di Kelantan, baru-baru ini.

Kerajaan Pas Kelantan melalui Ahli Parlimen parti itu, akan membawa usul rang undang-undang persendirian untuk melaksanakan hudud di Dewan Rakyat, bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 selewat-lewatnya Disember depan.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Ijtimak Kepimpinan Pas Negeri Terengganu 2014 di pekarangan Surau Kampung Feri Kemasik, di sini, semalam.

Hadir sama, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Negeri Terengganu, Saiful Bahri Mamat.

Mengenai kemungkinan Pas akan menghantar wakil bertemu Muhyiddin untuk menjelaskan mengenai hukum huduh, Abdul Hadi berkata, ia akan diteliti jika ada permohonan daripada pihak terbabit.

“Bergantung kepada permohonan, kita akan melalui proses apa sahaja yang membolehkan hukum Islam dilaksanakan.

“Kita juga akan melihat terlebih dahulu sejauh mana keikhlasan semua pihak untuk mendukung undang-undang ini ini.

"Ikhlas adalah sesuatu perasaan tersirat dalam hati yang perlu dinyatakan. Perkara (hudud) ini berkait dengan Kelantan, oleh itu proses (pelaksanaannya) mengikut undang-undang dan caranya terpulang kepada Kerajaan Negeri Kelantan,” katanya.

Tegas Abdul Hadi, Pas menyokong sepenuhnya apa yang akan dikemukakan Kerajaan Negeri Kelantan.