•  Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
1 / 1
SHAH ALAM - Kerajaan negeri bakal membentangkan kesan pembinaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) serta kesan harga pada Dewan Undangan Negeri (Dun) selepas penyusunan industri air selesai.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pembentangan akan menerangkan bagaimana projek itu memberi manfaat kepada rakyat negeri ini.

"Selepas penyusunan semula industri air yang sekarang masih dalam peringkat rundingan, kita akan bentangkan kesan Langat 2 dan kesan harga dalam Dewan.

"Kita akan terangkan kenapa projek ini akan beri kebaikan kepada rakyat. Insya-ALLAH dalam masa terdekat kita akan lakukan," katanya pada sidang Dun, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Adun Taman Medan, Haniza Mohamed Talha.

Malah menurut Abdul Khalid, jika ada keperluan, satu sidang khas boleh dibuat bagi menjelaskan perkara berkenaan.

"Jika perlu, kita boleh buat sidang dewan khas hanya untuk terangkan tentang apa keputusan yang telah kita lakukan (ambil).

"(Pada sidang berkenaan) Ahli Dewan negeri (Adun) dapat beri pandangan," katanya.