• Sultan Brunei berangkat melawat DSA 2014 Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah (dua, kanan) berkenan berangkat melawat Pameran Pertahanan dan Sekuriti Defence Services Asia (DSA) ke-14 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini. - Foto Bernama
1 / 1
KUALA LUMPUR - Sultan Brunei Darussalam Sultan Hassanal Bolkiah hari ini berkenan berangkat melawat Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2014  di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Keberangkatan tiba baginda diiringi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien.
  
Sultan Hassanal Bolkiah yang juga Menteri Pertahanan Brunei Darussalam, meluangkan masa kira-kira dua jam melawat pameran itu serta mencuba pelbagai peralatan yang dipamerkan antaranya oleh Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, DRB Hicom Defence Technologies (Deftech), Sapura Defence serta Zetro Aerospace.

Turut serta ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar serta Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.
  
Kira-kira 1,000 syarikat pertahanan dari dalam dan luar negara antaranya dari Australia, Austria, China, Perancis, Jerman, Itali, United Kingdom, Afrika Selatan dan Norway menyertai DSA 2014 kali ini.
  
Pameran kali ini melibatkan peralatan dan teknologi pertahanan, sistem persenjataan dan penyelesaiaan keselamatan generik terkini untuk memenuhi keperluan Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan pasukan keselamatan negara-negara Asia Pasifik.
  
Pameran yang berlangsung sejak semalam itu akan berakhir Khamis ini. - Bernama