JAKARTA - INDONESIA. - Ketua Umum Parti Demokrat Susilo Bambang Yudhoyono pada Khamis, memaparkan visi dan misi serta 11 janji baharu parti berkenaan jika kembali memerintah Indonesia. 

"Saya sampaikan visi dan misi dalam lima tahun akan datang dan ini bukan  sekadar cakap sahaja," kata Susilo yang juga Presiden Indonesia dalam kempennya selama hampir satu jam menjelang Pemilihan Umum (Pemilu) 2014, di sini. 

Dalam tempoh lima tahun akan datang, Susilo berkata parti Demokrat memiliki visi dan misi agar ekonomi Indonesia lebih teguh, kesejahteraan rakyat terus meningkat di samping usaha membanteras rasuah diteruskan. 

Selain itu, beliau berkata parti itu mahu iklim politik Indonesia stabil dan demokrasi semakin matang serta menjadikan pihak berkuasa keselamatan semakin kuat agar kedaulatan dan keutuhan negara boleh dipelihara. 

"Peranan Indonesia di peringkat antarabangsa terus meningkat. Alhamdulillah, Indonesia menjadi kuasa serantau dan pemain global. Kenapa? Indonesia negara terkuat ekonominya di Asean. Alhamdulillah, kita anggota G-20, Apec dan PBB," katanya.

Bagi mencapai visi Demokrat pada masa depan, Presiden Indonesia itu berkata parti berkenaan tidak akan 'main-main'. 

Parti Demokrat menetapkan 11 sasaran khusus, antaranya membasmi kemiskinan, pendidikan, kesihatan, keperluan asas, memodenkan pihak berkuasa keselamatan, kesejahteraan pegawai dan guru, infrastruktur, pelaburan dan pembanterasan rasuah.

Di seluruh sektor tersebut, Susilo berjanji akan meningkatkan peruntukan sehingga mencapai ribuan triliun rupiah. 

"Ini semua bukan ilusi juga bukan wacana. Saya ajak, mari terus kita ubah dan bangunkan negara ke arah yang lebih baik," kata Presiden Indonesia itu. - Bernama