• Datuk Saifuddin Nasution Ismail Datuk Saifuddin Nasution Ismail
1 / 1
PETALING JAYA - [VIDEO] Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disifatkan tidak memahami realiti semasa bebanan kos sara hidup termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) apabila menggesa rakyat supaya mengelakkan amalan berhutang dalam teks khutbah solat Jumaat pada minggu lalu.

Setiusaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau kesal apabila teguran sama tidak ditujukan kepada perdana menteri dan kerajaan Malaysia sedangkan pembaziran, ketirisan dan salah laku rasuah masih berleluasan seperti yang dilaporkan oleh Laporan Audit Negara 2013 pada minggu lalu.

"Teks khutbah Jumaat sepatutnya menasihati dan menegur pemimpin negara yang terus-menerus membazirkan wang negara, bukan menyalahkan rakyat sahaja.

"Mimbar Jumaat patut nasihatkan supaya kerajaan mengelakkan hutang berlebihan bukan memberi alasan akibat beban subsidi semata-mata," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut dua teks khutbah Jumaat yang disediakan Jakim bertajuk 'Memperkasa Ekonomi Ummah' dan 'Memakmurkan Ekonomi Tanggunhjawab Bersama' pada 4 dan 11 April lalu.

Teks tersebut menyentuh tentang kebaikan dan tanggungjawab rakyat terhadap pelaksanaan GST serta menasihatkan rakyat supaya mengelakkan daripada amalan berhutang termasuklah perbelanjaan berhemah dan mengelakkan pembaziran.

Mengulas lanjut, Saifuddin mendakwa Jakim tidak menyedari beban hutang negara semakin tinggi sejak Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi perdana menteri.

"Separuh daripada hutang Najib hari ini adalah menyamai hutang zaman

"Jika dikumpulkan hutang kesemua perdana menteri zaman Tengku...Tun Razak...Tun Hussein...Tun Dr Mahathir dan Tun Abdullah Ahmad Badawi, menyamai separuh daripada hutang yang dibuat oleh Najib hari ini.

"Itu bermakna disiplin pengurusan ekonomi dan perbelanjaan negara di bawah Najib adalah sangat buruk...mana mungkin Jakim boleh mengabaikan aspek ini," dakwanya lagi.

Sehubungan itu, Saifuddin menggesa Jakim selepas ini lebih peka dan menyediakan teks khutbah Jumaat tidak hanya menyasarkan rakyat semata-mata bahkan perlu berani menegur pemerintah negara.