• Hadi awang Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang
1 / 1
KUALA TERENGGANU – Pas menyokong usaha kerajaan Kelantan melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 yang merangkumi hukuman hudud.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pihaknya sentiasa konsisten dalam isu hudud walaupun ada yang menentang.

“Isu ini wujud sejak awal 90-an, lebih awal dari PR, sebab itu tiada masalah untuk kita kemukakan (hukuman hudud),” kata Adun Rhu Rendang itu ketika ditemui di luar Dewan pada Persidangan Dun ke-13 di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Ahli Parlimen Marang itu turut menegaskan, tidak ada sebarang perjanjian dibuat dalam PR untuk menghalang Pas daripada melaksanakan hukuman hudud dan atas dasar itu  pihaknya tetap menyokong Kelantan.

Katanya, jika ada pihak tidak bersetuju dengan usaha melaksanakan undang-undang Islam di Kelantan, itu terpulang kepada mereka.

“Kita konsisten dalam isu ini,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob menyatakan kesediaannya melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 yang merangkumi hukuman hudud selewat-lewatnya pada 2015.

Satu rang undang-undang persendirian juga akan dibawa bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidangkuasa) 1965 untuk memberi bidang kuasa yang lebih luas kepada Mahkamah Syariah Negeri Kelantan bagi membolehkannya menghukum sebagaimana peruntukan dalam Enakmen Hudud.

Selain itu, kuasa agensi pelaksana seperti polis dan penjara yang bertanggungjawab sebagaimana diperuntukkan dalam Kanun Keseksaan juga perlu dipinda.

enteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut memaklumkan kesediaan Kerajaan Persekutuan untuk memberikan laluan kepada Kelantan menguatkuasakan undang-undang hudud sekiranya draf itu dibentang di Dewan Rakyat.

Sementara itu persidangan Dun ke-13 semalam menolak usul Perlaksanaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 1432H/ 2002M yang telah diluluskan oleh dewan itu pada 7 Julai 2002.

Yang Dipertua Dun, Mohd Zubir Embong berkata, usul tersebut ditolak kerana ia akan dibawa ke peringkat lebih tinggi iaitu Parlimen pada sidang akan datang.

Usul itu dikemukakan Adun Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah di bawah Peraturan Majlis Mesyuarat Fasal 30 Peraturan-peraturan dan Perintah Tetap Dewan Undangan negeri.