• Datuk Saifuddin Nasution Ismail Datuk Saifuddin Nasution Ismail
1 / 1
PETALING JAYA - Tiga kerusi tambahan bagi jawatan naib presiden PKR akan disediakan kepada wakil Sabah dan Sarawak jika calon mereka tewas merebut kerusi itu pada 11 Mei depan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, jika keempat-empat kerusi itu dimenangi calon dari Semenanjung, tiga wakil dari Sabah dan Sarawak akan dilantik secara automatik.

"Ada tiga jawatan lantikan (naib presiden), yang dipertandingkan hanya empat kerusi.

"Sekiranya keputusan pemilihan itu tidak mewakili Borneo, maka tiga slot lantikan boleh dipertimbangkan satu atau dua kepada wakil Sabah atau Sarawak," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kaedah lantikan wakil dari Sabah dan Sarawak bagi jawatan naib presiden pada pemilihan kali ini.

Pada 24 November lalu, pindaan perlembagaan PKR membenarkan wakil parti dari Borneo dilantik bagi mengisi jawatan naib presiden parti.

Langkah itu dibuat sebagai menyahut 'Deklarasi Kuching' bersempena sambutan kemerdekaan ke-55 yang dilancarkan PR baru-baru ini.

Mengulas lanjut, sebaik sahaja pindaan itu dibuat, PKR telah pun memulakan langkah awal dengan melantik pengerusi pimpinan negeri di Sabah dan Sarawak sebagai anggota Biro Politik.

"Dalam pindaan perlembagaan parti, pengerusi negeri Sabah dan Sarawak secara automatik akan menduduki anggota Biro Politik yang menjalankan tugas eksekutif setiap minggu.

"Buat masa ini, Baru Bian dan Datuk Lajim Ukin wakil PKR dari Borneo," katanya lagi.