• Khairul Azwan Harun  
  • Khairul Azwan Harun
1 / 1
KUALA LUMPUR – Pesta liar seperti 'Topless Friday Beach Party' yang mahu diadakan di sebuah kelab di Jalan Ampang Jumaat ini perlu ditentang.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairul Azwan Harun berkata, pesta seumpama itu tidak sesuai di negara ini.

"Parti tidak bermoral seperti itu perlu ditentang semua pihak supaya tidak menjadi ikutan anak-anak muda, terutama yang beragama Islam, kerana ia boleh merosakkan akidah.

"Semua pihak perlu menghormati budaya dan adab sopan masyarakat tempatan," katanya melalui kenyataan akhbar, semalam.

Menurutnya, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta majlis agama Islam di semua negeri perlu sentiasa memantau kegiatan tidak bermoral seperti ini.

“Kami mahu ingatkan mana-mana pihak supaya tidak menganjurkan parti (liar) seumpama ini.

 Dalam perkembangan sama, Ketua penerangannya, Jamawi Jaafar berkata, parti itu jika diteruskan seolah-olah tidak menghormati agama Islam di negara ini serta insiden kehilangan MH370 yang membawa 239 orang.

“Program seumpama ini menggalakkan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, sekali gus meruntuhkan moral golongan muda.

“Saya juga berharap penyebaran dan penularan gejala tidak senonoh seperti ini dibendung dengan segera, bersesuaian dengan usaha kerajaan menghentikan program-program melalaikan.

Pihaknya telah mengemukakan bantahan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan menerima respons baik berhubung isu bantahannya itu.

“Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menggunakan segala undang-undang dan peraturan bagi memastikan parti itu tidak berlangsung,"katanya.