• Rohani Rohani
1 / 1
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menegaskan bukan tujuan pihaknya menghalang Soup Kitchen menyumbang kepada golongan yang memerlukan seperti gelandangan.

Namun menurut menterinya, Datuk Seri Rohani Karim, memberi makanan di tepi jalan membuatkan orang yang tidak sepatutnya turut mengambil kesempatan.

"Saya bersyukur atas keprihatinan pihak mereka memberi makanan kepada gelandangan. Tapi kalau beri di tepi jalan, ada orang lain yang beratur sekali. Pelancong pun ada.

"Bukan saya nak hentikan mereka menyumbang. Tapi berikan di institusi dan mereka boleh beri perkhidmatan lain kepada gelandangan ini...seperti di Anjung Singgah," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang dilaporkan berkata aktiviti Soup Kitchen tidak dibenarkan beroperasi di sekitar 2 kilometer radius dari Lot 10 yang meliputi sebahagian besar pusat bandar, Rohani berkata perkara itu hanya salah faham dan tidak dilaporkan sepenuhnya.

"Ku Nan menyebut tentang dua radius (2 km radius) di kawasan itu. maksudnya kalau nak bagi makan, teruskan bagi makan tapi lokasinya berbeza. tapi dia tak habis beritahu, dia juga menyentuh tentang rumah perlindungan.

"Bagilah makan di rumah perlindungan itu. saya harap yang ada itu (laporan tersebar), dapatkan fakta," katanya.

Tambahnya, golongan kurang mampu yang tinggal di jalanani tidak sepatutnya berada di situ terutama yang mempunyai anak-anak kecil.

"Kami cuma mencuba supaya mereka ini tidak tinggal di kaki lima. Mereka sepatutnya ada tempat tinggal sama ada rumah mereka sendiri atau rumah kebajikan kami.

"Kami membawa NGO yang memberi makan ini sebagai 'strategic partner'. ini hanya salah faham dan saya harap kita dapat perbaiki. Saya yakin," katanya.

Terdahulu, Tengku Adnan dikritik hebat setelah pelbagai kenyataan yang dikeluarkannya yang menyentuh mengenai golongan gelandangan dan NGO ini mencetuskan kontroversi.

Beliau sebelum itu melarang mana-mana NGO memberi makanan percuma kepada golongan miskin dalam lingkungan dua kilometer dari pusat membeli-belah Lot 10, Bukit Bintang.

Menurutnya, kawasan berkenaan dikira sebagai tempat tumpuan pelancong yang dibimbangi akan menjadi kotor dengan kehadiran orang miskin dan gelandangan.

Setelah dikritik keras pelbagai pihak, Tengku Adnan memberi penjelasan bahawa niatnya adalah untuk memperbetulkan keadaan dan membantu golongan tersebut mendapat kehidupan yang lebih baik.