• Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat
1 / 2

SHAH ALAM - Pimpinan Pas Pusat masih tidak membuat sebarang keputusan berhubung suasana politik yang melanda negeri ini termasuk jawatan Menteri Besar Selangor yang menjadi perdebatan kebelakangan ini.

Dalam satu pertemuan yang diadakan bersama Pimpinan Pas Pusat dan Selangor hari ini, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya masih meneliti kesemua hasil perbincangan dan sebarang keputusan hanya akan diumum kelak.

"Pimpinan Pas akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu sebelum bersetuju dengan apa-apa tuntutan yang dikemuka kepada pihak kami.

"Keputusan akan diumum setelah Pas berjaya mencapai kata sepakat," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Menurut Khalid, antara perkara lain yang dibincangkan dalam pertemuan pagi tadi termasuk juga isu air dan pungutan sampah di Selangor.

Antara pemimpin yang hadir termasuklah Ahli Parlimen Pas Selangor, Adun dan pimpinan Pas Pusat.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali memberitahu Sinar Harian, perjumpaan itu bukan khusus berkenaan kedudukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semata-mata tetapi turut membincangkan perkara lain juga.

“Kita mahu bincang perkembangan politik di Selangor dalam pelbagai sudut," katanya.

Terdahulu, isu jawatan Menteri Besar Selangor yang disandang Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim panas apabila terdapat gesaan agar beliau melepaskan jawatan terutama selepas tewas merebut jawatan Ketua Cabang PKR Kuala Selangor baru-baru ini.