• Wanita mangsa pemerdagangan dan sindiket
1 / 1
DALAM era moden ini pemerdagangan manusia adalah satu bentuk perhambaan. Ia merentasi sempadan dan menjatuhkan maruah serta martabat bangsa dan negara yang terlibat. Isu wanita dijadikan mangsa pemerdagangan seakan tidak pernah berkesudahan. Sejak beberapa tahun dahulu, Malaysia nampaknya bukan lagi semata-mata menjadi transit pemerdagangan wanita, malah dapat dilihat dengan mata kepala sendiri, betapa ramainya warga asing yang entah legal entah tidak, berada di negara ini.

Ketika saya ditugaskan di Meja Mahkamah dan Jenayah, boleh dikatakan ada sahaja sebutan reman dilakukan di Mahkamah Majistret Klang dan Shah Alam bersabit kes mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang atau Anti Penyeludupan Migran 2007 (Akta 670). Namun tidak dapat dipastikan seberapa banyakkah dalang dan sindiket berjaya dibawa ke muka pengadilan.

Apabila diperdagangkan, mangsa tidak diberi sebarang pilihan dan tidak dapat melaporkan penderitaan rentetan menerima kawalan ketat oleh sindiket. Ada yang mengakui didera, diberi makan kertas jika melawan dan tidak kurang juga yang dikerah tanpa bergaji serta diperlakukan seperti hamba seks.

Menurut Kajian Kesatuan Eropah dan Jabatan Negara Amerika, pemerdagangan manusia ini dapat menjana keuntungan yang lumayan dan dianggarkan sebanyak USD33 bilion setahun (angka tidak rasmi). Pemerdagangan manusia bukan saja berlaku di negara-negara mundur tetapi juga di negara-negara maju. Persoalannya kini siapakah dalang di sebalik semua ini? Dan bagaimanakah pemerdagangan manusia ini berlaku?

Menurut Artikel 3 Protokol Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendefinisikan Pemerdagangan Manusia sebagai; perekrutan, pengangkutan, pemindahan, penampungan atau penerimaan orang dengan cara ancaman atau penggunaan kekerasan atau bentuk paksaan lain. Ia termasuklah tragedi penculikan, penipuan, penyalahgunaan kuasa atau kedudukan, atau memberi atau menerima bayaran atau manfaat untuk mencapai persetujuan seseorang yang mempunyai kawalan ke atas orang lain, untuk tujuan eksploitasi iaitu pelacuran, buruh paksa atau perhambaan dan pemindahan organ-organ.

Hubungan baik antara negara

Malaysia mempunyai hubungan yang baik dengan Indonesia, Vietnam, Filipina, Amerika Syarikat dan sebagainya. Hubungan baik ini sangat penting kepada sektor ekonomi, namun ia juga telah menyumbang kepada satu masalah sosial yang amat ketara iaitu pemerdagangan manusia.

Kerjasama antara negara ini dengan negara luar telah menyebabkan warganegara luar diambil bekerja di sini dalam pelbagai sektor seperti pembinaan, perindustrian dan sebagainya termasuklah perhambaan dari sudut seks dan pekerja rumah urut.

Hasil kajian dari badan-badan bebas dan beberapa kes, Malaysia khususnya Sabah adalah destinasi persinggahan untuk wanita dan kanak-kanak diperdagangkan untuk eksploitasi seks secara komersial manakala lelaki dijadikan sebagai buruh paksa.

Kita menyaksikan setiap hari di media massa betapa penguatkuasaan undang-undang telah diperketatkan oleh kerajaan. Pihak Polis Diraja Malaysia, Kastam, Imigresen dan Maritim Malaysia (APMM) telah berusaha kuat menggembleng tenaga untuk membanteras jenayah penyeludupan manusia ini.

Kewujudan Pelan Tindakan Nasional (NAP) di bawah Majlis Anti Perdagangan Orang (MAPO) serba sedikit telah dapat mengurangkan aktiviti ini. Kerajaan mengambil inisiatif melatih lebih 3,000 pegawai yang merangkumi bidang penguatkuasaan, pendakwaan dan kehakiman untuk menangani isu ini.

Penguatkuasaan undang-undang

Kerjasama dengan International Organization of Imigrant (IOI), Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan Amnesty International Malaysia turut dijalankan.

Oleh sebab terdapat segelintir kakitangan kerajaan yang mengambil kesempatan terhadap isu sosial ini dengan menjadi orang tengah dan menerima rasuah, maka kempen untuk meningkatkan kefahaman dan profesionalisme jentera kerajaan dalam penguatkuasaan Akta Pemerdagangan Orang 2007 turut diperkenalkan.

Memang tidak dapat dinafikan, pemerdagangan atau penyeludupan wanita adalah satu mimpi ngeri yang menakutkan. Lewat kebelakangan ini, anak –anak kecil pula menjadi mangsa.

Minggu lepas, kita dikejutkan dengan kehilangan seorang kanak-kanak perempuan yang diculik dan diberikan ubat pelali. Mujur pihak polis berjaya mengesan mangsa jika tidak, apakah natijahnya? Apakah yang bakal berlaku dengan kanak-kanak perempuan itu? Dijual? Dijadikan mangsa eksploitasi seks atau? Tiada siapa yang tahu.

Selain wanita, kanak-kanak merupakan mangsa utama pemerdagangan manusia. Mereka lemah, senang dikawal dan tidak berupaya melawan. Mereka mungkin dimanfaatkan untuk kegiatan mengemis atau penjualan dadah.

Sebahagian besar daripada empat juta pekerja asing yang sah dan tanpa izin di Malaysia menjadi mangsa pemerdagangan orang, demikian menurut Laporan Pemerdagangan Manusia 2011 yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, menerusi Menterinya Datuk Seri Rohaini Abdul Karim juga telah menjalankan pelbagai program khusus menangani masalah ini. Dalam operasi Ops Qaseh yang dijalankan bagi membanteras gelandangan di ibu negara, terdapat wanita warga asing yang turut berjaya ditahan dan dibawa ke Kompleks Perlindungan Sementara (Pusat Sehenti Bina Diri) Sg Buluh.

Semoga kita sama-sama menggembleng tenaga mengawal kegiatan tidak bermaruah ini. Selamatkan bangsa kita, wanita kita. Hentikan rasuah, kezaliman terhadap wanita dan kanak-kanak.