• Najib Tun Razak
1 / 1
SHAH ALAM - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyatakan pendirian Malaysia untuk terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada perjuangan rakyat Palestin.  

Beliau berkata Malaysia juga akan memberikan sokongan dan bantuan kepada Palestin sehinggalah ia menjadi sebuah negara berdaulat.

"Kita tahu saudara kita di Gaza sedang diserang dengan zalim sekali dan kebetulan Duta Palestin baharu (Dr Anwar Hamadto Kassem AL-Agha) jumpa saya tengah hari tadi menceritakan kesengsaraan rakyat Palestin.

"Perdana Menteri Palestin Mahmoud Abbas juga telah mengutus surat kepada saya meminta saya membuat lawatan di Tebing Barat. Walaupun secara prinsipnya saya telah pergi ke bumi Gaza tetapi saya belum sampai di Tebing Barat.

"Saya kata selagi Palestin tidak menjadi negara berdaulat, selagi itu kita bantu perjuangan Palestin dan kita berdoa suatu hari perjuangan mereka akan kesampaian juga," katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa bersama rakyat Selangor di Masjid Tengku Ampuan Jemaah di sini.

Turut hadir isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor Datuk Seri Noh Omar.

Najib berkata antara sebab mengapa bumi Islam begitu mudah dijajah dan ditindas oleh pihak lain ialah kerana dunia Islam sendiri tidak dapat memantapkan perpaduan ummah mereka.

Malah, katanya konflik dalam dunia Islam lebih dasyat apabila ramai umat Islam terkorban di tangan umat Islam yang lain.

"Misalnya di Syria, seramai 150,000 umat Islam sudah terkorban dan hampir 10 juta orang sudah menjadi pelarian. Di bumi Iraq umpamanya, umat Islam dibunuh, diikat tangan dan diletakkan bom...kenapa konflik Sunni dan Syiah tidak dapat diatasi?

"Saya gunakan analogi mudah tentang orang Syiah dan Sunni ibarat kita berada atas landasan lebuh raya yang sama, destinasi sama, yang berbeza cuma kita dalam laluan lain...selagi kita tak tukar laluan untuk menolak orang lain sehingga berlaku  kemalangan, maka kita akan sampai ke destinasi dengan selamat," katanya.

Perdana Menteri berkata situasi konflik di bumi Islam yang begitu serius turut menyukarkan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk mengadakan perbincangan dan persidangan.

Sehubungan itu, beliau menyeru umat Islam di negara ini supaya menumpukan kepada kekuatan dari segi fizikal, rohani dan mental yang akan menjadi asas untuk membina masa depan yang lebih terjamin.

"Bila kita dah bina kekuatan dalam semua bidang, maka umat Islam di Malaysia akan menjadi contoh dan model...biarlah kita jadikan Malaysia negara Islam contoh yang berjaya, progresif dan maju dari segi akidah berdasarkan kepada Maqasid Syariah yang bertunjangkan kepada lima asas iaitu agama, nyawa, akal, keturunan dan harta.

"Inilah dasar yang diamalkan oleh kerajaan kita," kata beliau. Terdahulu, Najib menyampaikan sumbangan RM5,000 kepada setiap 100 buah sekolah Tahfiz di seluruh Selangor. - Bernama