• Khalid Ibrahim Khalid Ibrahim
1 / 1
KUALA LUMPUR - Pas belum membuat apa-apa keputusan berhubung kedudukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang didesak oleh rakan separtinya, PKR supaya meletak jawatan.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, parti itu akan terus memantau dan berbincang mengenai perkara itu jika ada keperluan untuk berbuat demikian.

"Kami akan terus dapatkan maklumat selain mengadakan perbincangan untuk mencapai kata sepakat sebelum isu itu diputuskan," katanya.

Mohamad turut mengingatkan ahli parti supaya jangan mengeluarkan sebarang kenyataan yang bersifat peribadi.

"Kenyataan biarlah datang daripada keputusan parti, perhubungan negeri atau Pas kawasan," katanya ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dan perbincangan perkembangan politik Selangor di Pejabat Agung Pas Jalan Raja Laut, semalam.

   Menjawab pertanyaan, beliau mengakui perbincangan melibatkan beberapa pemimpin Pas Pusat dan Pas Selangor yang turut dihadiri Ahli Parlimen di Selangor, Adun-Adun Selangor dan Yang Dipertua Pas kawasan itu, antara lain turut bincang isu kedudukan Menteri Besar Selangor. 

Ini berikutan desakan yang agak kuat daripada kalangan pemimpin PKR, juga Pas di negeri itu yang mahu Abdul Khalid berundur.

Ini dikatakan berpunca daripada sikap Abdul Khalid yang didakwa sering mengetepikan pandangan parti dalam membuat keputusan berkaitan isu-isu di Selangor termasuk isu penstrukturan semula industri air, isu rampasan Bible dan isu Lebuh raya Kinrara-Damansara (Kidex) yang menerima bantahan ramai.

Sementara itu, berhubung dakwaan terdapat usaha dalam Pas untuk menjatuhkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Mohamad menafikannya.
"Itu rekaan media dan presiden kami masih Abdul Hadi," katanya.