• Muka depan Sinar Harian 3 Julai 2014. Muka depan Sinar Harian 3 Julai 2014.
1 / 2
SHAH ALAM - Pensyarah Universiti Malaya (UM), Dr Mahmud Ahmad atau Abu Hanzalah, 36, yang diburu polis kerana disyaki terlibat dengan kegiatan militan, dikenakan tindakan tatatertib selepas gagal hadir bertugas.

Dalam kenyataan bersama, Timbalan Naib Canselor UM, Profesor Datuk Dr Rohana Yusof dan Pengarah Akademi Pengajian Islam UM, Profesor Datuk Dr Mohd Yakub @ Zulkifli Mohd Yusoff semalam berkata, pihak pengurusan UM sudah memulakan tindakan tatatertib itu selepas Mahmud gagal dihubungi sejak empat minggu lalu.

"Kita sekali lagi menegaskan sebarang aktiviti luar Dr Mahmud, termasuk dakwaan kegiatan subversif, adalah di bawah tanggungjawab beliau sendiri dan di luar pengetahuan pihak universiti.

"Bagaimanapun, kita (UM) sudah ambil tindakan seperti dinyatakan," katanya.

Dalam kenyataan sama, hasil semakan serta siasatan awal pengurusan UM mendapati Mahmud mematuhi prosedur dan keperluan dalam menjalankan tanggungjawab akademiknya sepanjang tiga tahun berkhidmat di UM.

Mahmud juga memenuhi tanggungjawab sebagai seorang pensyarah di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam melalui proses pembelajaran dan pengajaran (P&P) serta mengikuti penuh silibus pembelajaran ditetapkan.

"Sepanjang bertugas di UM, Mahmud tidak pernah diberikan sebarang jawatan berkaitan aktiviti pelajar di Akademi Pengajian Islam (Api) atau di Badan-Badan Pelajar peringkat universiti.

"Siasatan dalaman di peringkat Hal Ehwal Pelajar (HEP) menunjukkan beliau tidak pernah terlibat dalam mana-mana aktiviti Badan-Badan Pelajar ataupun sebagai penceramah jemputan dalam mana-mana program anjuran HEP," katanya.

Pihak Api dan UM, akan bekerjasama dengan polis membantu siasatan berkaitan Mahmud, selain pemantauan berterusan terhadap semua badan-badan pelajar yang berdaftar di bawah HEP bagi memastikan tiada anasir-anasir luar tersebar atau mempengaruhi pelajar.