• Laporan Sinar Harian, semalam Laporan Sinar Harian, semalam
1 / 1

IPOH - Jabatan Perikanan Perak akan menghantar sampel tulang yang diambil dari kolam ternakan ikan air tawar di Jalan Ipoh-Batu Gajah dekat Papan, di sini, untuk mengesahkan sama ada ia tulang babi atau tidak.

Ketua Cawangan Pembangunan Akuakultur, Jabatan Perikanan Negeri, Noraisah Hashim berkata, sampel itu mula dihantar hari ini ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya bagi mendapatkan pengesahan melalui ujian DNA.


Menurutnya, Perak tiada kepakaran untuk membuat ujian itu.

“Bukan semua makmal boleh menjalankan ujian bagi mengesahkan DNA babi ini. Jadi kita terpaksa hantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya.


“Keputusan ujian mungkin diperoleh dalam tempoh tujuh hari. Sehingga itu, kita tidak boleh mengesahkan ia tulang babi. Kena tunggu laporan lengkap,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Berdasarkan lawatan ke lokasi itu sebelum ini, Jabatan Perikanan tidak menolak kemungkinan serpihan tulang yang memenuhi kolam ikan seluas hampir satu hektar itu adalah rangka babi yang dijadikan makanan ternakan.


Perkara itu terbongkar selepas kolam ikan yang diusahakan di tanah milik persendirian itu pecah menyebabkan timbunan tulang, dipercayai milik babi, kelihatan di dasar kolam.

Noraisah mengesahkan, kolam itu tidak berdaftar dengan jabatan tersebut.


Katanya, sehingga kini, terdapat 3,093 kolam ternakan ikan air tawar berdaftar direkodkan di seluruh Perak, sementara bagi bekas lombong yang berdaftar pula adalah sebanyak 376.


“Bagi yang berdaftar, kita sentiasa adakan pemantauan dan pemeriksaan setiap kali laporan pendaratan ikan dibuat. Ini termasuk memastikan teknikal ternakan dipatuhi, juga kebersihan dari aspek proses pemberian makanan kepada ternakan.


“Dalam kes membabitkan kolam yang tidak berdaftar ini, kita ambil masa sedikit untuk menentukan pemilik dan status sebenar operasi kolam berkenaan sebelum tindakan diambil.


“Mengikut rekod tahun ini, tiada lagi mana-mana kolam berdaftar diarahkan tutup. Hanya ada segelintir mereka yang diberi amaran dan khidmat nasihat,” katanya.


Berikutan itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengarahkan jabatan berkaitan menyiasat penemuan tulang babi di dasar kolam ternakan ikan air tawar, dekat sini.


Beliau berkata, terdapat beberapa langkah yang perlu diperhalusi sebelum mengambil tindakan wajar.


“Bagi tujuan itu, kerajaan negeri  arahkan pihak dipertanggungjawabkan siasat dakwaan (mengenai isu) yang sedang hangat diperkatakan. Banyak aspek perlu diambil kira sebelum tindakan diambil,” katanya.


Sementara itu, Exco Perak, Datuk Mohd Nizar Zakaria meminta pihak berkaitan tidak menimbulkan provokasi berhubung penemuan itu bagi mengelak panik dalam kalangan pengguna apatah lagi jika tiada kesahihan maklumat.


“Sesuatu isu itu perlu dipastikan kebenarannya terlebih dahulu. Ianya cukup penting supaya tidak timbul persepsi negatif,” katanya.


Beliau berkata, dalam hal ini, kumpulan pengusaha yang terlibat dalam bidang penternakan juga perlu bersikap jujur terhadap produk yang dikeluarkan kepada pengguna.


Menurutnya, setiap proses yang dilalui, termasuk pemberian makanan kepada ternakan, harus mengikut prosedur.


“Mereka perlu memastikan kualiti produk ternakan atau pertanian itu dalam keadaan baik. Jika tidak, ia akan menimbulkan masalah dan akhirnya merugikan mereka sendiri.


“Ini kerana bidang berkenaan boleh menjana pertumbuhan ekonomi yang baik. Jadi kerja penternakan perlu dilakukan dengan betul,” katanya.