Bangunan jadi rumah perlindungan
KUALA LUMPUR - Sebuah bangunan di Chow Kit di sini telah dikenal pasti
sebagai lokasi untuk dijadikan rumah perlindungan buat golongan
gelandangan di ibu kota, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad
Phesal Talib.
Beliau berkata pihaknya merancang kemungkinan untuk mendapatkan
beberapa unit dan tingkat dalam bangunan itu khas buat menempatkan
mereka yang hidup secara gelandangan.
"Bahagian bawah (bangunan itu) mungkin boleh buat perkhidmatan seperti
rawatan kesihatan," katanya kepada pemberita selepas menyertai tinjauan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap golongan gelandangan
di sekitar Bangunan Cahaya Suria, Jalan Tun Perak di sini, malam tadi.
Perdana Menteri yang tiba pada 10.40 malam meluangkan masa kira-kira
sejam melihat sendiri aktiviti pengagihan makanan dan minuman oleh
sukarelawan Dapur Jalanan, selain turut berjalan kaki melihat keadaan di
sekitar jalan berkenaan.
Najib, yang turut ditemani Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri
Tengku Adnan Tengku Mansor serta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga
dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim, meluangkan masa untuk
beramah mesra dengan beberapa gelandangan yang tidur di tepi jalan
termasuk di perhentian bas.
Sementara itu, Rohani berkata perdana menteri telah mengarahkannya
memastikan golongan gelandangan yang berusia 60 tahun ke atas
ditempatkan di Rumah Seri Kenangan kendalian kementerian itu.
"Kalau umur ini (60 tahun) baiklah mereka berada di Rumah Seri Kenangan supaya senang (dijaga)," katanya.
Mengenai kanak-kanak yang turut hidup sebagai gelandangan dengan ibu
atau bapa mereka, Rohani berkata masalah itu agak sukar diatasi kerana
terdapat kalangan ibu atau bapa yang enggan menyerahkan anak mereka
untuk dijaga oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
"Kita nak mereka kalau boleh letak anak-anak mereka dengan kita untuk
kita jaga sementara mereka cari kerja. Tapi ibu bapa ini tak nak pisah,
maka kita kena ikut dan hormati kehendak mereka," katanya. - Bernama
0 orang berkata:
Post a Comment