• Umie Aida
1 / 1
PELAKON, Datin Paduka Umie Aida menafikan beliau mempunyai sebarang kaitan dengan syarikat skim cepat kaya YSLM yang sedang hangat diperkatakan.

Memetik laporan Media Hiburan, skim cepat kaya tersebut dikatakan berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dengannya terutama dalam hal-hal yang melibatkan aktiviti amal dan kebajikan.

“Pada Jumaat lepas (4 Julai), saya menghadiri satu mesyuarat dengan sebuah syarikat, YSLM yang berhasrat mahu mengambil saya sebagai artis di bawah naungan syarikat tersebut bagi tujuan aktiviti amal dan kebajikan untuk membantu anak-anak yatim dan golongan susah.

“Pada awalnya saya bersetuju tetapi atas sebab-sebab tertentu saya terpaksa membatalkan niat untuk menjadi artis naungan syarikat YSLM tersebut. Mereka juga ada memberi saya wang tunai sebanyak RM80,000 sebagai hadiah tetapi keesokan harinya saya mengambil keputusan untuk memulangkan semula wang tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan agar mana-mana pihak tidak menggunakan gambarnya yang diambil pada hari berkenaan untuk kepentingan syarikat tersebut.

 “Oleh yang demikian saya memohon jasa baik kepada pihak-pihak yang mengambil gambar-gambar saya pada hari berkenaan agar tidak menggunakan gambar tersebut untuk kepentingan syarikat. Ini kerana saya ingin tegaskan di sini saya bukan artis atau duta YSLM.

 “Sekiranya gambar-gambar saya digunakan saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang. Saya ingin tegaskan sekali lagi di sini bahawa saya bukan artis atau duta YSLM,” katanya.