• Iskandar Abdul Samad Iskandar Abdul Samad
1 / 1
SERENDAH - Pas Selangor sentiasa bersama untuk menetapkan sebarang perkara dan tidak akan membuat keputusan di luar jemaah.

Pesuruhjayanya, Iskandar Abdul Samad berkata, dalam isu kedudukan menteri besar, Pas Selangor juga telah mengadakan pelbagai perbincangan dan menyuarakan pandangan kepada Pas pusat.
“Ada yang menyatakan kita tak bincang tapi sebenarnya kita di Pas Selangor sama ada ahli parlimen, Adun atau badan perhubungan telah mengadakan pelbagai perbincangan.

“Keseluruhannya perbincangan dengan Pas pusat sudah enam kali kita adakan, jadi tak benarlah kalau ada yang kata Pas tak sependapat, hanya perbincangan ini kita tak boleh dedahkan dan kadang kala kita kena jaga kerahsiaan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Beliau yang ditemui pada Majlis Undian dan Tawaran Rumah Selangorku, Idaman PKNS mengulas mengenai kenyataan Adun Morib, Hasnul Baharuddin yang mengatakan Pas Selangor ambil sikap sambil lewa dan takut untuk memanggil mesyuarat.

Sambil menolak dakwaan itu, Iskandar yang juga Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar berkata, hari ini akan berlangsung mesyuarat Pas Pusat dan keputusan-keputusan daripada siri perbincangan dijangka akan diperoleh.

Beliau menjelaskan, perbincangan bersama Pas Selangor mengenai kemelut itu juga telah dibuat sejak enam bulan lalu.

“Bermakna kita telah lalui pelbagai perbincangan dan kita telah mengutarakan pandangan kita kepada pusat. Jadi sekarang Pas Pusat kena buat keputusan,” tegasnya.

Iskandar berkata, masih terlalu awal untuk meletakkan tanggapan mengenai impak sokongan rakyat terhadap Pas kerana banyak maklumat sebenar yang tidak sampai dan perlu diperjelaskan.

Menurutnya, seluruh masyarakat perlu menunggu isu tersebut selesai dalam tempoh seminggu atau dua minggu sebelum menilai impak dan memberikan sebarang pandangan.

Katanya, ketika Pas mengambil keputusan untuk menyertai PR dalam membentuk kerajaan negeri Selangor ada yang mempersoalkan tindakan itu, namun setelah penjelasan mengenai keharusan menghalang kerajaan tumbang kepada BN diberikan maka masyarakat telah menerima.