TAN Sri Abdul Khalid Ibrahim yang benar-benar bersemangat ‘lawan tetap lawan’ telah dipecat dari PKR. Peristiwa yang menimpanya agak pelik, kerana awalnya pujian ke bintang, kemudian bertukar menjadi cacian ke longkang.

Kepelikan terpadam apabila difahami bahawa hakikat politik memang begitu. Cuma kita tidak menyangka Khalid menerima nasib terbalik dalam masa yang terlalu singkat. Beliau selama ini diterima sebagai Menteri Besar Selangor yang berkesan.

Datuk Profesor Hashim Yaacob ada mengatakan Khalid tidak bersubahat menyembunyikan maksiat (Utusan Malaysia, 5 Ogos 2014). Walaupun bagus, akibat terlalu bersemangat, inilah balasannya.

Banyak juga alasan yang dikemukakan untuk menjatuhkannya, dan tiada alasan untuk meletakkan Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai menteri besar baharu. Daripada tafsiran umum Wan Azizah akan menjadi menteri besar kerana dirinya ialah presiden PKR, atau kerana beliau isteri Anwar Ibrahim.

Untuk menjadi Menteri Besar Selangor jarak kebolehan antara Azizah dan Khalid atau Anwar tentulah jauh. Jika Anwar sendiri tidak sampai ke tahap Khalid dalam hal ekonomi Selangor, maka mustahillah Wan Azizah akan dapat mengatasinya.

Pada akhir tahun lalu, kerajaan di bawah Khalid telah menaikkan gaji menteri besar dan wakil-wakil rakyat. Tindakan itu telah saya kritik melalui ruangan ini (10 Disember 2013), dan reaksi  telah saya peroleh.

Ketika itu, orang sosialis yang menyebelahi PKR dan PR memberikan pandangan bahawa gaji yang tinggi ialah tanda kemajuan negeri. Oleh itu, kata mereka, tindakan pentadbiran Khalid dapat diterima.

Pada masa ini saya tidak lagi memikirkan soal gaji pemimpin Selangor, kerana fikiran saya tertumpu pada agenda pihak tertentu menggantikan menteri besar. Khalid akan digantikan oleh seseorang yang belum teruji. Sebelum ini, saya telah menyiapkan puisi yang bertajuk “Memilih Pemimpin”.

Puisi saya menyebutkan, antara lain ‘Jika pemimpin terlalu bodoh, pentadbiran hodoh/ Jika pemimpin terlampau pandai, rakyat jadi keldai.’ Bahagian pertama di atas mudah kerana langsung pada fakta, tetapi bahagian kedua perlu dihuraikan. Saya tidak bermaksud menyatakan pemimpin yang pandai sentiasa berjaya menjadikan rakyat macam keldai.

Maksud saya, pemimpin yang  terlampau pandai itu akan berbuat apa-apa saja kepada rakyat, kerana rakyat mempercayai kehebatannya.

Saya kira ‘ rakyat jadi keldai’ selalu ada dalam pemikiran pemimpin terlampau pandai. Setakat ini pun rakyat (tentulah termasuk saya) telah diajak berfikir tentang berbagai-bagai hal yang hanya berupa impian dan khayalan. ‘Langkah Kajang’ saja pun sudah memeningkan.

Jika disebutkan satu persatu, tentulah makalah ini dianggap ‘mengajar itik berenang’, jadi eloklah disebutkan secara umum sahaja. Pergolakan politik Selangor kini menunjukkan bahawa pujian yang ditujukan kepada Khalid selama bertahun-tahun adalah ‘penanaman tebu di bibir’ saja.

Dalam pemikiran pemimpin yang terlampau pandai, Khalid hanyalah alat untuk menentukan Selangor dijagai dengan baik beberapa tahun. Ada perancangan yang amat rapi untuk menentukan bahawa pemimpin tertentu akan ke Putrajaya tanpa Khalid. Mereka telah lama berfikir untuk memecat Khalid.

Mungkin ini amat disedari oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang memiliki ilmu agama yang tinggi.

Pemikiran kritis diperlukan pada saat-saat seperti kini. Makna apakah yang ada di sebalik makna yang jelas di depan mata. Patah tumbuh hilang berganti, tetapi Khalid dipatahkan dengan sengaja untuk digantikan oleh Wan Azizah. Selama ini, kita melihat sejumlah agenda terbengkalai.

Adakah agenda ‘Langkah Kajang’ sedang dijagai dengan baik oleh penganjurnya? Rafizi Ramli bukan sebarang orang, jadi rakyat hendaklah memberikan perhatian terhadap kepandaiannya. Kita juga perlu memerhatikan Azmin Ali seperti yang pernah dinyatakan oleh Hishamuddin Rais.

Bagi Hashim Yaacob, jawatan Menteri Besar Selangor adalah hak Khalid. Beliau tidak melakukan kesalahan kepada negeri dan rakyat Selangor. Saya fikir, untuk beberapa tahun ke hadapan, Khalid elok meneruskan tugasnya yang amat mencabar ini.


* Datuk Rahman Shaari ialah penerima SEA Write Award dari Kerajaan Thailand (2007), dan penerima Anugerah Penyair Gapena (2013). Beliau mantan profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.