Lim Guan Eng
PETALING JAYA - DAP meminta Pas turut menunjukkan solidariti dalam PR untuk menghalang keempat-empat Exco Selangor Pas daripada menghadiri Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN), esok.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.

"Kami rasa pemecatan ini tidak beretika dan tak hormati pinsip demokrasi. DAP dan PKR tak boleh terima pemecatan ini.

"Saya minta Mustafa Ali untuk sampaikan mesej kepada pucuk pimpinan tertinggi Pas dan tunjuk solidariti kepada PR supaya exco Pas juga tak hadir pada mesyuarat exco," katanya kepada pemberita dalam sidang media tergempar di ibu pejabat PKR, hari ini.

Malah menurutnya, pemecatan lebih daripada separuh exco negeri itu boleh dipertikai dari sudut perundangan.

"Pemecatan exco-exco ini berdasarkan keengganan kedua-dua parti untuk menyokong beliau (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) sebagai menteri besar.

"Pemecatan ini tak adil dan boleh dipertikai dalam aspek perundangan. Kita tak faham bagaimana menteri besar boleh buat sedemikian," katanya.

Turut hadir, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang dan kelima-lima exco yang dipecat.