• Khalid Ibrahim Khalid Ibrahim
1 / 1
SHAH ALAM – Satu mesyuarat Majlis Penasihat Raja-Raja yang telah ditetapkan esok bakal membincangkan soal kedudukan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Abdul Khalid, sehingga tarikh itu, beliau telah dinasihatkan untuk tidak membuat apa-apa kenyataan dan meneruskan tugas sebagai menteri besar seperti biasa.

“Saya  mengulangi kenyataan akhbar semalam bahawa saya menerima keputusan PKR walaupun tindakan itu salah dan tidak menurut undang-undang serta bertentangan dengan perlembagaan parti.

“Saya juga akan meneruskan tugasan sebagai menteri besar seperti biasa dan dinasihati untuk tidak membuat apa-apa kenyataan sehingga satu mesyuarat Majlis Penasihat Raja-Raja yang telah ditetapkan pada hari Isnin, 11 Ogos 2014,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malah katanya, beliau turut dinasihatkan oleh peguam supaya tidak membuat sebarang kenyataan supaya tidak mengganggu proses undang-undang yang mungkin akan diambil pada masa akan datang.

Semalam, Majlis Pimpinan Pusat  PKR memecat keahlian Abdul Khalid dari parti itu serta merta.

Pengumuman tersebut diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Dr Tan Kee Kwong di Ibu Pejabat PKR.

Abdul Khalid didapati ingkar arahan parti yang meminta beliau berundur dari jawatan menteri besar bagi memberi laluan kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.