• Suhaizan Kaiat Suhaizan Kaiat
1 / 1
SHAH ALAM – Berita Adun Hulu Kelang, Saari Sungib yang dikatakan dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur akibat sakit dada disangkal oleh Pemuda Pas hari ini.

Ditanya tentang penyebaran berita tersebut, ketuanya, Suhaizan Kaiat berkata, berita yang tersebar melalui aplikasi dan laman sosial tersebut tidak benar sama sekali.

“Tak betul... palsu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Saari didakwa dikejarkan ke IJN petang semalam selepas mengadu sakit dada kepada isterinya, Alizs Jaafar di rumah mereka di Taman Sri Ukay, Hulu Kelang.

Beliau dikatakan berada dalam keadaan kritikal dan menerima rawatan di unit kecemasan institut kesihatan itu.

Saari merupakan seorang daripada dua Adun Pas yang menyokong pelantikan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail sebagai Menteri Besar Selangor.

Ia sekaligus melanggar pendirian Majlis Syura Ulama Pas baru-baru ini dan mendahului Mesyuarat Jawatankuasa Pusat.

Sehingga kini  beliau masih enggan menarik balik surat sokongan beliau sebagaimana diarahkan Setiausaha Pas Selangor.

Menurut Suhaizan lagi, pihaknya telah pun menghubungi anak Saari untuk mengesahkan berita tersebut dan bertanyakan status Adun Hulu Kelang itu.
Kata Suhaizan, anaknya turut menafikan penyebaran berita tersebut.

“Saya sahkan dengan anak dia. Ayah dia okay. Sihat sahaja,” jelasnya lagi.

Sementara itu, sumber IJN turut menafikan Saari ditahan di wad bagi mendapatkan rawatan akibat sakit dada.