• Ahmad Yunus Ahmad Yunus
1 / 2
SHAH ALAM - Keempat-empat Exco Pas di Selangor kekal menggalas jawatan mereka sehingga satu keputusan baharu dicapai dalam mesyuarat khas peringkat pusat parti itu pada Ahad ini.

Menurut Exco Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi, beliau ada menemui Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, namun isu sokongan terhadap kepimpinan Adun Pelabuhan Klang itu tidak timbul.

"Saya ada berjumpa dengan menteri besar, dua hingga tiga minit sahaja, membincangkan bagaimana Exco-Exco yang masih tidak meletakkan jawatan untuk bekerja kepada rakyat Selangor.

"Sekarang kini, Pas masih memegang jawatan (Exco) seperti mana yang dikehendaki Pas Pusat," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Semalam, Abdul Khalid memberitahu beliau akan menemui Exco DAP Dan PKR Selangor untuk bertanyakan sokongan mereka kepada beliau selepas dipecat keahliannya dari PKR pada Sabtu.

Ditanya tentang tiga Exco Pas Selangor yang lain, Ahmad Yunus memberitahu mereka tidak menemui Abdul Khalid kerana mempunyai urusan kerja masing-masing di luar pejabat.

Dalam pada itu, Ahmad Yunus turut memberitahu bahawa beliau akan menghadiri  mesyuarat mingguan Exco esok.

"Esok ada mesyuarat Exco dan Insya-ALLAH saya akan hadir kerana saya tidak meletakkan jawatan. Esok biasa pukul 10 pagi.

Ditanya sama ada mengetahui tentang tindakan Exco lain selain Pas yang meletakkan jawatan, Ahmad Yunus berkata, sehingga kini beliau tidak dimaklumkan tentang perkara tersebut.

Sementara itu, seorang lagi Exco Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad yang ditemui di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor juga senada dengan kenyataan Ahmad Yunus berhubung kedudukan mereka sebagai Exco.

"Saya rasa sekarang ini perlu teruskan kerja demi memastikan rakyat dapat khidmat terbaik. Saya akur dengan keputusan yang diperkenan tuanku‎ semalam," katanya.

Ketika ditanya tentang pertemuan khas Abdul Khalid dengan Exco yang dijadualkan hari ini, beliau bagaimanapun berkata tidak dimaklumkan perkara tersebut.

"Saya cuma hadiri mesyuarat dengan Menteri Besar petang ini berkenaan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor tentang isu perumahan dan bukan soal sokongan," katanya lagi.