• Rafizi Ramli - Foto Sinar Harian Rafizi Ramli - Foto Sinar Harian
1 / 1
SHAH ALAM - Ketelusan Tan Sri Khalid Ibrahim dalam pemerintahan dan politik mungkin masih boleh menyelamatkan karier politiknya, ujar Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli.

Beliau berkata, jika Abdul Khalid memilih langkah menerangkan secara terbuka mengenai isu-isu yang dibangkitkan ke atas beliau selama ini, mungkin pihak PKR masih boleh merundingkan segala masalah yang dihadapi demi mencari penyelesaian yang lebih baik.

"Pemecatannya dilakukan dengan serta-merta kerana bimbang integriti parti akan terjejas disebabkan kepincangan pemerintahan dia (Abdul Khalid). Cara dia (Abdul Khalid) kadang-kadang kurang disenangi, dia susah untuk berjumpa, kadang-kadang susah untuk dibawa berbincang. Tapi setiap kali berlaku perselisihan memang kita akui kesilapan dan perbetulkan semua bersama-sama dia.

"Sekiranya berlaku jujur dalam soal penjelasan hutangnya sebanyak RM70juta, mungkin beliau tidak akan dibuang jawatan," katanya dalam ceramah Penerangan Isu Semasa Negeri Selangor, malam tadi.

Rafizi mendakwa, Abdul Khalid tidak pernah menafikan beliau berhutang dengan Bank Islam dan pernah mengaku beberapa kali beliau sememangnya bertanggungjawab untuk membayar hutang-hutang yang diambil di bawah pembiayaan Bank Islam.

"Bank Islam mempunyai hujah yang kukuh untuk memenangi kes di mahkamah yang akan memaksa Abdul Khalid membayar baki hutangnya. Abdul Khalid cuba menimbulkan keraguan bahawa pembiayaan al-bai bithaman ajil yang disediakan oleh Bank Islam tidak memenuhi syariah sepenuhnya.

"Atas hujah itu, Abdul Khalid cuba mendapatkan arahan mahkamah untuk membatalkan perjanjian pinjaman yang ditandatangani sebelum itu dengan Bank Islam.

"Jika hujah Abdul Khalid  diterima bermakna semua pinjaman yang dibuat di bawah kaedah perbankan Islam yang diambil oleh semua rakyat di negara ini, maka pinjaman rakyat Malaysia juga perlu diisytiharkan tidak sah dan terbatal. Ini termasuk pinjaman rumah dan pelbagai pinjaman lain yang banyak dibuat oleh rakyat kebanyakan di bawah kaedah perbankan Islam," katanya

Menurutnya, keputusan Bank Islam yang memutuskan untuk tidak meneruskan kes di mahkamah walaupun dengan alasan kukuh untuk menentang Abdul Khalid menimbulkan banyak tanda tanya dan disifatkan jarang berlaku kepada rakyat biasa.

Katanya lagi, walaupun diasak  pelbagai kontroversi dan spekulasi, pimpinan parti termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa meminta Abdul Khalid supaya berlaku telus dan menjelaskan kepada pimpinan parti dan PR mengenai penyelesaian hutangnya dengan Bank Islam.

"Anwar terpaksa berbuat demikian, ia demi menghentikan spekulasi yang bermain dari semua pihak," jelasnya.