Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat 
KUALA LUMPUR - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Khalid Abdul Samad menyifatkan permainan licik Menteri Besar Selangor menyebabkan Pas berjaya diasingkan dalam membuat keputusan bersama Pakatan Rakyat sebelum ini.
Dakwa Khalid, tindakan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang pandai memberikan 'gula-gula politik' menyebabkan Pas melihat beliau sebagai tokoh yang bersih.

"Beliau ini (Abdul Khalid) hebat, kita termakan, beliau tahu dirinya telah ditolak PKR beliau cuba kaburi Pas.

"Hendak selamatkan dirinya dia beri pelbagai kelebihan kepada Pas, dalam pada itu apa-apa yang berlaku di Selangor beliau tidak lapor kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim tetapi beliau lapor kepada Pas," katanya pada forum 'Krisis Selangor: Mengapa Pas Terasing' di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur, malam tadi.

Jelasnya, disebabkan faktor itulah Pas terus mendokong Abdul Khalid sehingga keputusan terbaharu dicapai semalam.

"Abdul Khalid berjaya dalam lakonannya, tetapi keputusan hari ini (semalam) menunjukkan siapa sebenarnya Abdul Khalid," katanya.

Dalam pada itu, ketika menyentuh mengenai "Langkah Kajang" pula, Khalid berkata kesemua rakan dalam PR bersetuju mengenainya.


"Langkah Kajang, semua setuju, ianya bukan tujuan nak tukar Abdul Khalid apa yang  kita mahukan ialah kita hendak Abdul Khalid tukar (nak beri beliau berubah).

"Melalui Langkah Kajang kita hendak bagi Abdul Khalid tekanan... Iskandar Abdul Samad, sebab itulah kita letak calon yang hebat dalam Langkah Kajang, itu sebenarnya hendak beri Abdul Khalid ubah perangai," katanya.