SHAH ALAM - Exco PKR, Rodziah Ismail mungkin terselamat daripada penyingkiran besar-besaran barisan Exco Selangor jika beliau senada serta sanggup bekerjasama, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menteri Besar Selangor itu berkata, nasib Rodziah hanya akan dimuktamadkan selepas Adun Batu Tiga itu kembali ke tanahair.

"Rodziah kini berada di luar negara, kita tunggu dia kembali dan saya akan buat keputusan kemudian.

"Jika beliau bersetuju untuk bekerjasama dengan Exco sedia ada sekarang, dia akan diteruskan (Exco), kalau tidak dia akan diberikan surat penamatan Exco," katanya kepada pemberita di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, di sini, hari ini.