• Abu Kassim Mohamed Abu Kassim Mohamed
1 / 1
SHAH ALAM - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Abu Kassim Mohamed hari ini mengesahkan agensi itu sudah pun memulakan siasatan ke atas dakwaan rasuah membabitkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Seperti yang saya katakan, ia adalah tugas SPRM untuk menyiasat semua kes rasuah tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"Jika sesiapa yang membuat aduan, SPRM akan memprosesnya sebelum mengklasifikasikan aduan itu sama ada untuk meneruskan atau tidak," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan laporan tahunan SPRM kepada Speaker Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Minggu lalu, Ketua Setiausaha Sulit kepada Abdul Khalid, Mohamad Yasid Bidin membuat laporan kepada SPRM berhubung dakwaan PKR yang mengaitkan menteri besar itu terlibat dengan rasuah.

Turut sama membuat aduan itu ialah kedua-dua setiausaha politik Abdul Khalid, Mustapha Mohd Talib dan Azman Abidin.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menyatakan keraguan terhadap integriti pentadbiran Abdul Khalid sehingga mendorong pejabat Menteri Besar Selangor membawa perkara itu kepada SPRM bagi membolehkan agensi itu menyiasat dakwaan terbabit.