• Sebahagian peserta yang menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor dan mengutuk tindakan Anwar Ibrahim di depan kediaman rasmi Abdul Khalid hari ini. - Foto Sinar Harian oleh RAZIATUL HANUM A.RAJAK 
  •  Sebahagian peserta yang menyatakan sokongan kepada Menteri Besar Selangor dan mengutuk tindakan Anwar Ibrahim di depan kediaman rasmi Abdul Khalid hari ini. - Foto Sinar Harian oleh RAZIATUL HANUM A.RAJAK
1 / 1
SHAH ALAM - Demonstrasi Pakatan Anak Selangor Menyokong Menteri Besar (Pasmeb) yang dijadual hari ini terpaksa dibatalkan penganjur selepas mendapat nasihat daripada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pengerusi Pasmeb, Mazli Saring berkata, Abdul Khalid memaklumkan kepada pihaknya agar tidak mengadakan sebarang aktiviti ataupun mengeluarkan sebarang kenyataan media buat sementara waktu.

Menghormati perkara tersebut, Pasmeb menangguhkan demonstrasi yang dirancang diadakan di depan kediaman rasmi Abdul Khalid jam 2 petang tadi.

"Kami terima nasihat tersebut jam 1 petang tadi tentang keadaan semasa.

"Semua aktiviti dan kenyataan media dihentikan sehingga diberitahu kelak.

"Kami minta maaf kepada pihak media yang menanti sejak tadi," katanya kepada pemberita, ketika ditemui di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau mewakili Pasmeb bertegas menyatakan bantahan terhadap keputusan PKR memecat Abdul Khalid.

"Kami tidak setuju degan pemecatan ini. Beliau ada masa lagi 14 hari untuk rayuan dan sebagainya," katanya.

Pihak media menanti hampir sejam di pintu belakang kediaman rasmi menteri besar selepas dimaklumkan pertukaran lokasi.

Kira-kira jam 2.50 petang, wakil Pasmeb tampil dan memaklumkan pembatalan tersebut.