• PKR perlu mendapatkan 29 undi majoriti menggugurkan jawatan Abdul Khalid. - Gambar hiasan. PKR perlu mendapatkan 29 undi majoriti menggugurkan jawatan Abdul Khalid. - Gambar hiasan.
1 / 1
SHAH ALAM - Usaha PKR untuk menggugurkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak akan berjaya jika undi majoriti Adun tidak menyebelahi parti itu.

Penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berkata, PKR perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 29 undi majoriti, jika mahu Abdul Khalid digugurkan dan diganti dengan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

"Selangor ada 56 kerusi Adun, iaitu 15 daripada Pas, DAP (15), PKR (13) dan Umno (12). Berdasarkan undang-undang tubuh kerajaan negeri, calon baharu yang hendak dilantik perlu mendapat sekurang-kurangnya 29 undi Adun, sebelum mendapat perkenan Sultan untuk memegang jawatan menteri besar.

"Semalam (kelmarin) Majlis Syura Ulama Pas sebulat suara menyatakan pendirian mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor. Situasi ini menyukarkan lagi jalan untuk PKR mencapai hasrat mereka," katanya ketika dihubungi, semalam.

Samsul Adabi berkata, PKR tidak boleh melantik Dr Wan Azizah tanpa sokongan Adun Pas. Oleh itu, peluang untuk Abdul Khalid dikekalkan masih ada.

"Jika keputusan Majlis Presiden PR yang akan diadakan dalam tempoh terdekat tidak selari dengan keputusan Pas, PR tetap tidak boleh melantik menteri besar baharu kerana tanpa Pas tidak cukup undi majoriti.

"Keputusan sama perlu dicapai kerana pemerintahan PR melibatkan tiga komponen, iaitu PKR, Pas dan DAP," katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan, Majlis Syura Ulama Pas memutuskan mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor, selagi beliau tidak disabit sebarang kesalahan dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pemimpin negeri itu.

Majlis Syura Ulama Pas menyifatkan keputusan berkenaan berasaskan hukum syarak dan melihat kepentingan rakyat yang mendahului kepentingan individu dan parti.