• Shamsul Iskandar Mohd Akin
1 / 1
KUALA LUMPUR - Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju untuk mengadakan pertemuan lapan mata dengan empat pemimpin nasional pakatan pembangkang bagi menyelesaikan krisis Menteri Besar Selangor yang kian meruncing.
  
Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, Anwar telah menyatakan persetujuannya itu dalam mesyuarat PKR hari ini, yang turut dihadiri Presidennya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Setiausaha Agungnya Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
  
"Pagi ini, saya telah sampaikan (cadangan) kepada Anwar dan beliau berkata tiada halangan untuk mengadakan pertemuan lapan mata itu bersama pemimpin DAP, Pas, PKR dan malah Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
  
"Ia adalah untuk meleraikan situasi dan kita akan cuba aturkan dalam masa terdekat," katanya ketika ditemui pemberita di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.
  
Mengulas pendirian Majlis Syura Pas yang bertegas untuk mengekalkan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar, Shamsul Iskandar berkata beliau menghormati keputusan itu.

"Namun, saya yakin Pas tidak mempunyai maklumat lengkap tentang perkara ini...kerana soal perlantikan dan sebagainya adalah keputusan yang kita putuskan secara biasa dalam parti. Pada hemat saya, mungkin kita perlu memberi penjelasan maklumat yang mendalam tentang ini," katanya.
  
Ditanya mengenai kemungkinan Pas juga akan membuat pusingan 'U' terhadap pendirian mereka, Shamsul Iskandar berkata ia tidak mungkin memandangkan Pas mempunyai pandangan dan pendapat sendiri setelah meneliti pelbagai maklumat dan alasan konkrit.
  
"Saya cuma berharap akhirnya nanti Jawatankuasa Pas Pusat  membuat keputusan yang tepat bagi menyelesaikan isu ini," katanya yang juga Anggota Parlimen Bukit Katil.
  
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Disiplin PKR Datuk Tan Kee Kwong berkata Abdul Khalid, menerusi sepucuk surat hari ini, meminta untuk menangguhkan kes beliau daripada hari ini kepada 15 Ogos ini.  - Bernama