• kemelut politik
1 / 1
SHAH ALAM - Pas Selangor memberi tempoh 24 jam kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu di negeri ini untuk menarik balik pendirian mereka menyokong Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor yang baharu.
 
Setiausaha Pas negeri, Mohd Khairuddin Othman berkata sekiranya kedua-dua Adun berkenaan - Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari Sungib (Hulu Kelang) - enggan berbuat demikian,  mereka bakal berdepan dengan tindakan disiplin.
 
"Pas Selangor memandang serius tindakan dua Adun Pas ini yang telah mengambil pendirian dan bersikap bersendiri tanpa menurut tatacara serta arahan yang telah ditetapkan parti.
 
"Saya nasihati kedua-dua Adun ini untuk menarik balik tindakan (menyokong Dr Wan Azizah) atau Pas Selangor akan mulakan tindakan disiplin termasuk melihat kepada kandungan bai'ah (janji) yang telah dilafazkan sewaktu mereka menjadi calon (Adun)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
 
Hasnul dan Saari hari ini menyertai sidang media bersama Dr Wan Azizah bagi menyatakan sokongan kepada presiden PKR itu sebagai menteri besar baharu menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
 
Dr Wan Azizah, yang juga Adun Kajang, mendakwa 30 Adun Selangor daripada DAP dan PKR serta Hasnul dan Saari juga menyatakan rasa hilang kepercayaan terhadap Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.
 
Mohd Khairuddin turut menempelak tindakan kedua-dua Adun itu yang disifatkan terlalu gopoh dan terlalu taksub sehingga sanggup membelakangkan parti sedangkan Pas Pusat hanya akan memutuskan pendirian rasmi mereka dalam mesyuarat jawatankuasa pusatnya Ahad ini (17 Ogos).
 
"Pas mempunyai organisasi negeri, kepimpinan pusat dan majlis syura ulama yang harus kita patuh. Apa jua keputusan dan ketetapan yang akan dibuat oleh Pas Pusat pada 17 Ogos ini kita akan patuh. Sebab itu sabar," katanya.

Kedudukan terkini Dun Selangor yang memiliki 56 kerusi ialah Pas dan DAP masing-masing memiliki 15 kerusi, PKR (13), Barisan Nasional (12) dan Bebas (1).

Sebelum ini, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempertahankan Abdul Khalid untuk mengekal jawatan menteri besar kerana menurutnya Abdul Khalid tidak pernah khianat dalam menjalankan amanah kepada rakyat.
 
Pandangan sama dinyatakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang turut mempersoal tindakan pihak tertentu yang mahu menggugurkan Abdul Khalid daripada jawatannya.  
 
Turut sama menyokong adalah Dewan Ulama Pas Pusat yang menegaskan Abdul Khalid patut dibenar meneruskan tugasnya sebagai menteri besar sehingga ke akhir penggal kerana tiada sebarang alasan syarie yang kukuh dikemukakan setakat ini untuk mewajarkan penukarannya.  - Bernama