• Rahmad Isahak Rahmad Isahak
1 / 1
GEORGETOWN - Tidak perlu mohon maaf dan menarik balik kenyataan mengenai isu pengurusan kewangan kerajaan negeri dan penganugerahan projek terowong dasar laut.

Presiden Kongres Melayu Pulau Pinang, Rahmad Isahak berkata, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nasrudin Hassan tidak perlu berbuat demikian atau berasa takut dengan desakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng jika yakin berada di landasan yang benar.

Beliau yakin Ahli Parlimen Temerloh dari Pas itu tidak akan sama sekali gentar dan membuat pusingan U apabila  digertak oleh Guan Eng.

“Pastinya Nasrudin mempunyai keyakinan yang tinggi dan bersedia sebelum mengeluarkan kenyataan sebegitu terhadap Guan Eng.

“Biarkan isu ini dibawa ke mahkamah bagi menjamin ketelusannya kerana projek terowong dasar laut  bukan kehendak majoriti rakyat di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Nasrudin sebelum ini mempersoalkan tindakan yang dikenakan terhadap Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung isu lebuh raya Kinrara-Damansara (Kidex).

Beliau turut mempersoalkan kepimpinan PR yang tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Guan Eng berhubung projek terowong dasar laut yang didakwa dianugerahkan kepada Zenith secara rundingan terus.

Nasrudin juga menyatakan tiada langsung suara pimpinan dalam PR untuk menegur sikap Ketua Menteri Pulau Pinang yang berani berbelanja besar untuk projek berkenaan dengan kewangan yang kritikal sedangkan projek itu juga menerima bantahan penduduk dan banyak pihak sama seperti Kidex.

Sehari kemudian, Guan Eng dalam sidang media pejabatnya menuntut Nasrudin memohon maaf berhubung kenyataannya itu.

Sementara itu, Rahmad berkata,Guan Eng  tidak sepatutnya cepat melatah dengan menuding jari kepada pihak lain terutama Umno dalam isu berkenaan kerana perkara yang dibangkit Nasrudin adalah dalam kerangka pakatan pembangkang sendiri.

“Perkara ini merupakan masalah ‘keluarga’ dalam PR dan kenapa orang luar seperti Umno harus dilibatkan?

“Adakah ini menunjukkan apa yang selama ini dibangkit dan dikritik oleh Umno terhadap kepimpinan Guan Eng tepat dan betul,” katanya.