• Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (dua kanan) menunjukkan surat Sultan Selangor yang memberi perkenan memecat lima Exco Selangor di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, di Shah Alam, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh NIZAM ZAIN 
  •  Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (dua kanan) menunjukkan surat Sultan Selangor yang memberi perkenan memecat lima Exco Selangor di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, di Shah Alam, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh NIZAM ZAIN
1 / 1
SHAH ALAM - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mendedahkan surat perkenan daripada Sultan Selangor kepada beliau untuk memecat lima Exco PKR dan DAP, semalam.

Abdul Khalid berkata surat balas daripada Sultan Selangor itu diperolehinya dua jam selepas beliau menulis kepada Tuanku berhubung kenyataan bersama lima bekas Exco itu yang enggan bekerjasama dengannya.

"Semalam jam 2 petang saya tulis surat kepada Sultan selangor selepas semua Exco itu tulis kenyataan bersama untuk tidak bersama-sama dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Sultan Selangor telah balas secara bertulis supaya Exco berkenaan tidak bertugas lagi," katanya pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat mingguan Exco, di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian membidas kenyataan lima Exco dipecat itu yang mendakwa Abdul Khalid tidak memperolehi perkenan Sultan Selangor untuk mengugurkan tiga wakil DAP dan dua wakil PKR.

Lima Exco terbabit ialah Datuk Teng Chang Khim, Ean Yong Hian Wah, Elizabeth Wong, Ganabatirau Veraman dan Dr Daroyah Alwi.

Dalam pada itu, mesyuarat mingguan Exco hari ini dihadiri oleh empat Exco Selangor Pas dan tiga pegawai ex-officio.

Antara Exco Pas Selangor yang hadir ialah Iskandar Abdul Samad, Dr Halimah Ali, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Salehin Mukhyi.

Manakala pegawai ex-officio pula ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi; Penasihat Undang-undang, Datuk Zauyah Be T.Loth Khan dan Pegawai Kewangan, Datuk Noordin Sulaiman.

Sementara itu, Abdul Khalid menegaskan lima Exco dipecat itu tidak dibenarkan meneruskan khidmat mereka selepas kenyataan semalam bercanggah dengan 10 akujanji dan sumpah kesetiaan di hadapan Sultan Selangor semasa mereka mengangkat sumpah sebagai Exco.