• Datuk Saifuddin Nasution Ismail Datuk Saifuddin Nasution Ismail
1 / 2
SHAH ALAM - Pimpinan Pas perlu mencari jalan bagi menyelesaian isu pelantikan calon bagi Menteri Besar Selangor.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail melalui sebuah kenyataan hari ini berkata, pimpinan Pas seharusnya mempersetujui keputusan yang dicapai dalam bersama PKR dan DAP bagi menghormati perikatan Pakatan Rakyat.

"Kami sedar bahawa penolakan terhadap pencalonan Datuk Seri Wan Azizah sebenarnya telah berlaku lama sebelum pun berita kononnya titah ke bawah Sultan Selangor ini mula disebarkan.

"Sehingga kini, pimpinan tertinggi Pas masih lagi belum memberi alasan yang jelas kenapa beberapa pimpinan Pas terus membuat kenyataan terbuka menolak pencalonan Datuk Seri Wan Azizah walaupun Jawatankuasa Pas Pusat belum bersidang," katanya.

Hasil mesyuarat Lajnah Politik Pas pada 14 Ogos lalu menyaksikan Pas mengambil keputusan menolak  Wan Azizah sebagai calon Menteri Besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali, pihaknya menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah memberi perkenan kepada Abdul Khalid untuk kekal memegang jawatan berkenaan.

Menurut Saifuddin, proses mengikut Perlembagaan dan Undang-undang  Tubuh Kerajaan Negeri Selangor untuk melantik seorang menteri besar bermula dengan pencalonan seorang Adun dari parti-parti yang mempunyai majoriti di dalam dewan.

"PKR, DAP dan Pas harus  mempersetujui seorang calon dari kalangan Adun Pakatan Rakyat untuk dibawa pencalonan bagi perkenan ke bawah Sultan Selangor.

"Proses membuat keputusan dalam Pakatan Rakyat perlu dipertahankan. Adalah tidak adil sekiranya isu ini dijadikan pertembungan di antara PKR dan Pas sedangkan keseluruhan kepimpinan DAP dan 15 Adunnya  menyokong pencalonan Datuk Seri  Wan Azizah," katanya lagi.

Sehubungan itu beliau menyarankan Pas mengambil kira majoriti 30 Adun yang menyokong Wan Azizah sebagai calon menteri besar di negeri ini.