• khalid ibrahim
1 / 1
KLANG - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akui sangat berpuas hati dengan hasil mesyuarat Majlis Dewan DiRaja Selangor yang dijalankan sekitar jam 10.30 pagi tadi bagi membincangkan kedudukannya.

Beliau yang ketika ditemui media di pintu pagar Istana Alam Shah Klang kira-kira jam 12.45 tengah hari tadi kelihatan tersenyum sebelum memberitahu beliau akan mengadakan sidang media jam 2 petang nanti.

"Saya akan adakan sidang media jam 2 petang nanti di pejabat SUK," katanya kepada pemberita.

Ketika ditanya apa hasil mesyuarat, beliau enggan mengulas.

"Saya akan cakap petang ini. (Tan Sri puas hati dengan hasil mesyuarat?) Saya sangat puas hati," katanya.

Abdul Khalid tiba di Istana Alam Shah pada jam 8.45 pagi sementara Sultan Selangor tiba di istana itu 15 minit kemudian.

Pihak media menanti Abdul Khalid di pekarangan istana sejak jam 8 pagi tadi.