• Mohamad Sabu  - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI Mohamad Sabu - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI
1 / 1
KUALA LUMPUR - Pas menolak Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kekal menjawat jawatan Menteri Besar Selangor kerana beliau bukan lagi ahli PKR.

Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berkata, kini sudah tidak timbul soal Abdul Khalid selepas keahliannya dalam PKR telah ditarik.

"Sudah tidak timbul lagi soal beliau (Abdul Khalid) kerana dia sudah dipecat partinya.

"Dia bukan lagi ahli PKR. Kita tahaluf siyasi dengan parti bukan dengan individu," katanya kepada pemberita pada sidang media selepas mesyuarat khas jawatankuasa Pas Pusat, hari ini.

Pas hari ini mengumumkan dua nama calon menteri besar bagi menggantikan Abdul Khalid iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Namun ketika ditanya pemberita sebab mencalonkan nama lain sedangkan PKR telah pun menamakan Wan Azizah sebagai calon menteri besar, Mohamad tidak menjawab dengan jelas.

Beliau terus diasak soalan sama berulang kali dan akhirnya beliau memberitahu perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat PR, petang ini.

Sementara itu, media membangkitkan soal parti itu yang dilihat mengubah keputusan selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini menyatakan sokongan kepada Abdul Khalid.

"Tak ada 'U-turn’. Ini (cadang dua nama) keputusan bersama. Sebulat suara," katanya.

Sementara itu, beliau menolak untuk mengandaikan berlakunya pilihan raya negeri kerana PR masih lagi memegang majoriti dua per tiga Dun di Selangor.