• Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kepimpinan Pusat (CEC)DAP di ibu pejabat DAP, Kuala Lumpur, hari ini.  
  •  Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kepimpinan Pusat (CEC)DAP di ibu pejabat DAP, Kuala Lumpur, hari ini.
1 / 1
SHAH ALAM - Kesemua tiga Exco DAP di Selangor akan kekal dalam pentadbiran kerajaan negeri sehingga proses peralihan kuasa dan pelantikan Menteri Besar Selangor baharu itu selesai dilaksanakan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, langkah parti itu mengekalkan wakilnya adalah untuk memastikan pentadbiran kerajaan negeri Selangor berjalan lancar dan berterusan seperti biasa.

"Semua tiga Exco DAP di Selangor kekal dalam jawatan mereka dalam tempoh peralihan sehingga Menteri Besar Selangor baharu dilantik.

"Pengaturan peralihan kuasa itu perlu untuk memastikan pentadbiran Selangor berterusan sehingga menteri besar baharu dilantik," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Langkah itu dibuat selepas Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Dr Tan Kee Kwong mengumumkan pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari parti itu serta-merta semalam.

Penyingkiran Abdul Khalid dibuat pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR selepas meneliti dan mengadakan siasatan berkenaan kes disiplin dan tatatertib Adun Pelabuhan itu.

Kee Kwong menjelaskan, Abdul Khalid didapati mengingkari keputusan MPP yang bermesyuarat pada 21 Julai lalu yang sebulat suara memilih Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar Selangor baharu.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata DAP memberi sokongan sepenuhnya kepada cadangan PKR untuk menclaonkan Wan Azizah bagi menggantikan Abdul Khalid untuk mengetuai pentadbiran kerajaan negeri Selangor.

"Kesemua 15 Adun DAP di Selangor telah menyatakan sokongan sepenuhnya kepada Wan Azizah untuk menggalas jawatan itu.

"Kerajaan PR Selangor juga akan kekal dan berterusan sebagai kerajaan yang stabil dan sah bersama dengan 43 Adun  PR di negeri itu berikutan penyingkiran Abdul Khalid dari PKR," katanya lagi.