• Iskandar Abdul Samad Iskandar Abdul Samad
1 / 2
SHAH ALAM - Pesuruhjaya Pas Selangor, Iskandar Abdul Samad menafikan beliau mendapat jemputan istana berhubung jawatan Menteri Besar Selangor.

Menurutnya, setakat ini tiada titah menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan beliau  sendiri tidak menahu senarai nama calon yang dihantar kepada pihak istana.

“Hari ini (semalam) tiada (jemputan daripada istana), esok tak tahulah saya, “ katanya ketika ditemui di Lobi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS) selepas Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), semalam.

Beliau berkata, tindakan Pas menghantar lebih dua nama kerana patuh titah sultan dan tiada kaitan dengan niat membalas dendam tindakan PKR yang berjaya meraih sokongan dua Adun Pas menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

“Ia semata-mata kerana ikut arahan sultan...tiada sebab lain. Tuanku minta lebih dua nama kita berilah. Tiada kaitan dengan isi mengkhianati PKR atau mana-mana pihak,” katanya.
Iskandar juga menolak jangkaan bahawa Pas akan terkesan dan goyah sekiranya ada di kalangan ahlinya membentuk parti baharu.

“Dalam Pas kita pernah ada Ikhwanul Muslimin, Berjasa dan lain-lain tetapi Pas tidak terkesan dan tetap teguh.

“Jika ada parti baru hendak ditubuhkan daripada Pas, kita akan bertahan. Ada parti yang baru ditubuhkan itu pun kita tidak tahu pergi ke mana,” katanya.

Kewujudan Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) mula mendapat perhatian sejak timbulnya spekulasi satu kumpulan dalam Pas merancang menubuhkan parti baharu menggantikan Pas.

Namun Pengerusinya, Phahrolrazi Mohd Zawawi tampil memberitahu, Pasma ditubuhkan sebagai NGO dan tidak berniat menggulingkan kepimpinan Pas dan golongan ulama, malah tidak pernah merancang menjadi sebuah parti politik.