•  Dr Dzulkefly Ahmad Dr Dzulkefly Ahmad
1 / 1
SHAH ALAM - PR menyambut baik langkah kerajaan negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan kemelut penstrukturan semula industri air di negeri itu yang tertangguh sejak sekian lama.

Ahli Jawatankuasa Air PR Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sentiasa mengalu-alukan langkah itu demi kepentingan dan kebajikan rakyat bukan sahaja di negeri bahkan di seluruh negara.

"Secara prinsipnya saya mahu yang terbaik untuk rakyat dan tentunya apa pun langkah sama ada dibuat oleh PR mahupun Kerajaan BN yang mengisi dan memenuhi kepentingan dan kemaslahatan rakyat Selangor dan mana-mana negeri di negara ini.

"Ia perlu didokongi oleh semua pihak yang mengamalkan politik sihat dan baru, mesti berteraskan prinsip, kita tidak mempunyai pemikiran sempit dari segi hanya mementingkan kepartian dan tidak dapat mengiktiraf kebaikan walaupun dilakukan oleh pihak lawan. Itu prinsip saya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Penyelidikan Pas (PPP) bagaimanapun menegaskan PR mempunyai hak untuk menyemak semula perjanjian tersebut bagi memastikan tidak wujudnya salah guna kuasa dan penyelewengan.

"Seandainya kami (PR) mengambil alih kemudian (kerajaan negeri) dan kita dapati wujudnya kesalahan dalam apa jua sama ada dari sudut penafsiran mahupun aspek perudangan, maka kerajaan PR Selangor berhak untuk menimbang kembali akan apa jua yang bersifat perjanjian berat sebelah.

"Semua ini hanya kita dapat lakukan ketika kita mendapat akses atau capai kepada maklumat dengan lebih terperinci (perjanjian utama) dan ia perlu dilakukan oleh pakar-pakar seperti juru audit dan penganalisis ekonomi dalam perkara ini," ujarnya.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang telah memeterai Perjanjian Utama pengambilalihan perkhidmatan air dengan kerajaan pusat di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air di Putrajaya, semalam.

Perjanjian itu telah dimuktamadkan dengan kos pengambilalihan penstrukturan semula industri air lebih rendah daripada tawaran asal iaitu RM7.45 bilion berbanding RM9.65 bilion sebelum ini.

Mengulas lanjut, Dzulkefly menegaskan bahawa Kerajaan PR Selangor tidak akan menerima 'bulat-bulat' perjanjian yang telah diaturkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tanpa mendapat maklum balas daripada ahli Jawatankuasa Air PR Selangor sebelum ini.

Jawatankuasa Air itu dianggotai bersama Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang diangkat Majlis Pimpinan PR pada awal tahun ini.

"Saya melihat Abdul Khalid nampak bersungguh sangat untuk memeterai semua perjanjian itu sementara itu beliau telah meletakkan jawatan tapi diberi satu laluan atau waktu senggang sebelum dilantik seorang menteri besar baharu.

"Kita tidak boleh dipaksa untuk bersetuju dengan satu perjanjian khususnya dalam suasana begini, maka ia sangat tidak adil untuk memaksa kerajaan PR menerima bulat-bulat," katanya lagi.