• Parti PAS Parti PAS
1 / 1
SHAH ALAM – Pas kini berdepan dengan kebangkitan baru golongan profesional atau ‘Erdogan’ yang berkonsepkan mukmin profesional.

Pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mansor Mohd Noor berkata, golongan yang masih terikat dengan Islam itu terbina hasil daripada pemikiran moden yang berbeza dengan pemikiran golongan ulama.

“Kebangkitan  golongan itu menerusi Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) menunjukkan bahawa pergerakan mereka tidak lagi berpaksikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pasma menjadikan konsep mukmin profesional sebagai landasan perjuangan mereka untuk mengarusperdanakan Islam dalam pembangunan dan kemajuan negara,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Beliau berkata, dalam erti kata lain Pasma tidak berminat untuk memperjuangkan negara Islam seperti dilakukan Pas kerana ia merugikan.

“Kalau mereka perjuangkan negara Islam hanya akan tertumpu di negeri-negeri Melayu utara sebab terdiri daripada pengundi Melayu sahaja, walhal pengundi luar bandar mendukung Umno.

“Jadi mereka perlu ubah strategi politik dari negara Islam ke arah mengarusperdanakan Islam dalam pembangunan bagi menentang BN,” katanya.

Katanya, apa yang jelas sekarang, Pas dan Pasma terikat dengan PR, namun matlamat mereka tetap sama untuk menjatuhkan BN dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Mansor berkata, langkah yang diambil Pasma boleh disifatkan sebagai langkah positif kepada negara kerana ia akan mengangkat agama dan tamadun negara.

“Bagaimanapun, dalam aspek lain pendekatan Pasma sebenarnya adalah pendekatan yang sudah lama dilakukan Umno.

“Jadi mereka perlu memikirkan pembaharuan yang perlu dilakukan menerusi pendekatan itu, melangkaui apa yang sudah dilakukan Umno,” katanya.