• Muhammad Sanusi Muhammad Sanusi
1 / 1
ALOR SETAR - Pas Kedah meminta ahli dan pimpinan semua peringkat khususnya di Kedah agar menjauhi sebarang cubaan pihak tertentu yang berhasrat mencalarkan kredibiliti dan integriti Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Majlis Syura Ulama.

Ketua Penerangannya, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, tindakan dan usaha merungkai keputusan yang dibuat oleh Abdul Hadi serta cubaan untuk menghakis dasar-dasar Islam daripada Pas untuk memenuhi kehendak pihak lain, kelak boleh memberi kesan buruk kepada Islam dan parti.

“Kesannya akan terpalit bukan sahaja pada masa ini tetapi juga pada masa depan. Pas Kedah menyokong penuh pendirian dan langkah Abdul Hadi dalam menangani hal ehwal politik semasa, khususnya kemelut pencalonan Menteri Besar Selangor daripada PR,” katanya.

Menurutnya, keputusan itu selari dengan peruntukan Perlembagaan Pas yang menjelaskan bahawa Presiden mempunyai kuasa pemutus dalam apa jua perkara melibatkan kepentingan parti, berdasarkan Fasal 26 (1) (a) yang menyatakan bahawa Presiden bertanggungjawab sebagai ketua bagi melaksanakan pentadbiran, gerakan dan kegiatan parti.

“Hal ini diperjelaskan lagi dengan tafsiran fasal itu oleh Majlis Syura Ulama: dengan merujuk kepada Perlembagaan Pas, Fasal 8(1)(a), yang memberikan kuasa kepada Majlis Syura Ulama untuk menjelas, menghurai dan mentafsirkan Perlembagaan Pas, mesyuarat Majlis Syura Ulama yang bersidang 7 September memutuskan: Presiden mempunyai kuasa pemutus dalam apa jua perkara melibatkan kepentingan parti,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, ketua yang dimaksudkan dalam fasal tersebut mestilah difahami seperti mana disebutkan dalam Hadis Nabi, bermaksud, ‘Hendaklah kalian dengar dan taat, meskipun yang menjadi ketua dalam kalangan kalian seorang hamba berbangsa Habsyi’. Tambahnya, menjadi kewajipan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat untuk menjalankan tugas dan arahan-arahan daripada Presiden sebagaimana diperuntukkan dalam Fasal 26(9)(m).

“Berdasarkan tafsiran dan pendirian Majlis Syura Ulama ini, dan disokong Dewan Ulama Pas Pusat, Pas Kedah tidak nampak sebarang sebab untuk tidak bersama dengan pendirian dan tindakan Abdul Hadi,” katanya.

Muhammad Sanusi berkata, Pas Kedah turut merakamkan tahniah atas ketegasan dan keputusan bijak Presiden, Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama Pas Pusat yang telah melaksanakan tanggungjawab besar dan penting untuk memandu seluruh ahli dan penyokong
berpegang teguh kepada dasar-dasar Islam yang diperjuangkan parti.

“Sebarang usaha, tindakan atau keputusan yang bertentangan dengan pendirian Abdul Hadi selaku Presiden, dalam isu ini, atau mana-mana isu oleh pihak-pihak tertentu perlu segera dihentikan,” katanya.