• Analisis
1 / 1
KUALA LUMPUR - Ibarat retak menanti belah, begitulah gambaran hubungan kerjasama politik antara Pas, PKR dan DAP, ekoran kemelut pertukaran Menteri Besar Selangor sehingga menjejaskan jalinan kerjasama pakatan.

Di atas kertas, mencipta satu gerakan untuk menukar Menteri Besar Selangor nampak cukup mudah tetapi realiti dan hasilnya menimbulkan kemelut yang tidak kesudahan dan ketidakstabilan politik.

Kemelut ciptaan PKR, yang bermula dengan pilihan raya kecil Dun Kajang pada Mac lepas, mengheret kedua-dua rakan sekutunya untuk sama-sama 'mengambil bahagian' dalam permasalahan ini.

PAS LAWAN PKR

Akhir-akhir ini, beberapa pemimpin parti pakatan membidas Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang hanya kerana beliau enggan 'tunduk' kepada keputusan awal pakatan iaitu menamakan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar.

Lebih mengguris rasa pemimpin pakatan ialah apabila Abdul Hadi, yang juga Anggota Parlimen Marang, menyifatkan penolakkan Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu bukannya disebabkan jantina, sebaliknya dilihat kerana tidak berkebolehan.

Ekoran itu, Abdul Hadi diserang daripada pelbagai hala bukan sahaja daripada rakan sekutu PKR dan DAP tetapi juga anggota Pas.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan mahu Abdul Hadi menarik balik kenyataan yang menyatakan Dr Wan Azizah, yang juga ADUN Kajang tidak berkebolehan, manakala Ketua Penerangan Wanita PKR Azura Aziz menyifatkan kenyataan Presiden PAS itu sebagai mengkhianati kepercayaan parti pakatan.

Serangan terhadap Abdul Hadi menyebabkan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa PKR juga pengkhianat terhadap kesetiakawanan PAS dalam parti pakatan.

"Tindakan PKR mengiktiraf sokongan dua anggota Dun Pas, Shaari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) terhadap Dr Wan Azizah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu merupakan satu pengkhianatan," kata Nik Abduh.

KEMELUT MB PENYEBAB PAS BERPECAH

Suatu ketika dahulu, Pas yang ditubuhkan pada 1951 mengalami perpecahan beberapa kali sehingga tertubuhnya Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) pada 1977 dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (HAMIM) pada 1983.

Kali ini, ramai melihat kemelut Menteri Besar Selangor yang kian memuncak menyaksikan bibit-bibit perpecahan bukan sahaja dalam kalangan gabungan Pas, PKR dan DAP tetapi kepada dalam Pas sendiri.

Di saat kegawatan pertukaran Menteri Besar Selangor yang belum pun bertemu penghujungnya, wujud Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang dipimpin Dun Pangkalan Kundor, Kedah Datuk Phahrolrazi Zawawi, satu pertubuhan yang disifatkan banyak pihak sebagai 'Pas baharu'.

PasMa ditubuhkan pada 11 Ogos lalu, di Kedah sebagai NGO yang memberi fokus kepada isu politik tanah air dan cenderung kepada pengukuhan pakatan pembangkang.

Pada 7 September lepas, Phahrolrazi, yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, dilapor sebagai berkata bahawa penubuhan PasMa bukanlah untuk menggantikan Pas.

"Namun jika perbincangan antara pemimpin Pakatan Rakyat pada masa akan datang menjurus kepada itu, terpulang. Bukan bidang kuasa PasMa untuk bincang aspek itu kerana ia bawah kuasa pemimpin utama Pakatan Rakyat," katanya.

LANGKAH KAJANG RETAK HUBUNGAN

Jika sebelum ini Pas berbangga dengan kerjasama politik yang dinamakan 'tahaluf siyasi' bersama dua parti sekutunya untuk melebarkan 'jajahan' pada PRU13 lepas, namun hubungan itu kini dilihat terjejas selepas PKR melancarkan 'Langkah Kajang'.

Ramai yang percaya bahawa Pas hari ini sebenarnya 'makan hati' apabila parti itu terpaksa tunduk dengan beberapa tuntutan rakan sekutu seperti menggugurkan agenda perjuangan utamanya iaitu 'negara Islam' kepada 'negara berkebajikan' demi meraih sokongan rakyat.

Dalam isu hudud, yang menjadi perjuangan Pas selama ini, ia sering kali ditentang oleh DAP dan PKR sehingga menimbulkan polemik di kalangan umum.

Adakah 'Langkah Kajang' punca utama kepada keretakan serius hubungan Pas, PKR dan DAP?

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Datuk Dr Samsul Adabi Mamat berpandangan dalam soal 'Langkah Kajang', Pas sedikit pun tidak dihormati oleh DAP dan PKR.

"Sebab itu Pas sekarang menyuarakan ketidakpuasan hati mereka kerana mereka tertanya-tanya di mana kedudukan mereka dalam Pakatan Rakyat jika benar parti itu dianggap sebagai 'abang sulung'?," katanya kepada Bernama.

Menurut beliau, Pas 'menelan' episod duka itu demi menjaga keutuhan parti pakatan. Kini, Pas yang diheret bersama dalam kemelut pertukaran Menteri Besar sudah pasti tidak mahu tunduk kepada kehendak PKR dan DAP yang hanya menamakan Dr Wan Azizah sebagai satu-satuya calon Menteri Besar.

PAS KELUAR PAKATAN

Melihat keadaan landskap politik Selangor masa kini yang kian bercelaru dan ditambah dengan kewujudan PasMa, Samsul Adabi berpandangan adalah lebih baik jika Pas keluar daripada parti pakatan, sementelahan ia juga sebuah gabungan yang longgar.

"Tahaluf siyasi yang diamalkan melampaui batas dan memaksa Pas bertindak balas. Untuk masa depan Pas, eloklah parti itu keluar daripada Pakatan Rakyat dan membiarkan PasMa bersama pakatan.

"Dengan keluar daripada pakatan, Pas boleh menjadi sebuah parti politik tersendiri yang kembali kepada matlamat asal penubuhannya dan menjadi lebih
kuat. Pas ada kekuatan tersendiri tanpa bergantung kepada PKR dan DAP," katanya.

Beliau berkata sudah sampai masanya Pas memikirkan hubungan berkenaan memandangkan tahaluf siyasi yang dijalankan tidak memberi banyak keuntungan kepada Pas dan umat Islam.

"Jika sebelum ini Pas dimomokkan bahawa dengan tahaluf siyasi Pas berjaya menawan beberapa kerusi dalam pilihan raya, sekarang Pas perlu percaya kepada diri sendiri," katanya.

Samsul Adabi berkata Pas sepatutnya tidak boleh dianggap penumpang oleh PKR dan DAP dalam parti pakatan jika ikatan yang terjalin berlandaskan niat murni malah perlu lebih dihormati jika parti itu dianggap sebagai 'abang sulung'.

"Dengan terbentuknya PasMa, maka inilah masa bagi Pas untuk melaksanakan pembersihan parti dan ia juga mampu memulihkan krisis dalaman parti," katanya. - Bernama