• Penduduk meredah air untuk pulang ke rumah bagi menyelamatkan peralatan berharga. Penduduk meredah air untuk pulang ke rumah bagi menyelamatkan peralatan berharga.
1 / 2
KUALA TERENGGANU – Seorang remaja perempuan berusia 13 tahun, menjadi korban banjir pertama di negeri ini apabila lemas dalam satu kejadian di Kampung Jelapang, Permaisuri, Setiu petang semalam.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Ab Rahman Raja Mohamed berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang semalam, sewaktu mangsa, Nursyakirah Izzati Norliza mengikut datuknya, Mat Daud Dollah, 73, memukat ikan.

“Mangsa mengikut datuknya memukat ikan di bendang kira-kira 25 meter dari rumah.

"Semasa datuknya menahan pukat, mangsa dilihat oleh dua sepupunya yang juga ada bersama pada waktu itu, terjatuh ke dalam telaga.

“Telaga itu yang berada di kawasan sawah, ditenggelami air. Ia agak dalam dan tidak dapat dilihat kerana dipenuhi air,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chalok bagaimanapun, dapat dikeluarkan dari telaga itu dengan bantuan orang kampung Mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Setiu.

Sementara itu di daerah Kuala Nerus, keadaan banjir menjejaskan kira-kira 1,000 penduduk di Taman Desa Tanjung Damai, Gong Badak, apabila penempatan tersebut dilanda banjir kali kedua petang kelmarin.
Meskipun membuat persiapan awal menghadapi bencana alam itu, setelah melalui pengalaman perit apabila hampir kesemua harta benda rosak dua tahun lalu, namun kali ini keadaan serupa berulang kerana paras air naik secara mendadak.

Akibatnya, ada sebahagian penduduk tidak sempat menyelamatkan perabot dan peralatan elektrik, malah ada antara mereka yang telah memasang kekuda lebih tinggi, namun ia belum berjaya menyelamatkan harta benda apabila air mula memasuki ke dalam rumah lebih 0.5 meter.
Tinjauan Sinar Harian bersama sepasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terengganu serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sri Nerus semalam mendapati, masih ada sebahagian penduduk bertungkus-lumus menyelamatkan barangan berharga mereka dari ditenggelami air.

Kemas rumah seminggu lalu

Menurut seorang mangsa, Jasmi Ismail, 41, dia memulakan kerja-kerja mengemas rumah sejak hampir seminggu yang lalu setelah keadaan cuaca dilihat tidak menentu namun masih ada sebahagian peralatan tidak sempat diselamatkan.

“Dalam banjir besar dua tahun lalu, saya mengalami kerugian yang banyak kerana air naik mendadak dan tidak sempat berbuat apa-apa, tetapi kali ini saya lebih berwaspada bagi mengelak lebih banyak kerugian.

“Walaupun serik dengan keadaan ini, tetapi saya tidak dapat berbuat apa-apa kerana telah membeli rumah ini,” katanya yang berpindah ke pusat pemindahan banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak jam 7 petang kelmarin.

Maklum jika ingin pulang
Pengerusi PBS Sri Nerus, Mohd Arif Tengah berkata, pihaknya mengerah anggota sukarelawan sejak petang kelmarin sebaik dimaklumkan mengenai kawasan yang dinaiki air itu.

“Sejak semalam (kelmarin) lagi, kita menggerakkan anggota untuk menyelamat termasuk membantu mangsa ke pusat pemindahan. Ini kerana, kebanyakan mangsa tidak menjangka paras air naik mendadak, sehingga ada sebahagian mereka menyimpan peralatan rumah dalam tergesa-gesa,” katanya.

Bagaimanapun katanya, penduduk diingatkan supaya tidak panik dan segera menghubungi pihaknya jika memerlukan bantuan.

“Pagi ini (semalam) kita meneruskan rondaan dengan trak di kawasan perumahan ini untuk meninjau jika ada penduduk yang memerlukan bantuan,” katanya.

Penduduk juga diingatkan agar memaklumkan kepada pihak berkuasa jika ingin pulang ke kediaman dalam tempoh terdekat ini.

Banjir semakin buruk

Dalam pada itu, banjir di Terengganu bertambah buruk apabila lebih ramai mangsa berpindah ke pusat pemindahan, semalam. Selepas Kuala Terengganu, daerah  Marang, Setiu dan Besut turut dilanda banjir dengan penduduk yang terjejas meninggalkan rumah dan berpindah ke pusat pemindahan.

Sehingga jam 6.30 petang semalam, portal banjir kerajaan negeri melaporkan, seramai 2,543 mangsa ditempatkan di 16 pusat pemindahan berbanding hanya 134 mangsa. Daerah paling teruk terjejas adalah Kuala Terengganu dengan 1,704 mangsa melibatkan 435 keluarga di 11 pusat pemindahan.

Mangsa paling ramai ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak iaitu seramai 833 orang, diikuti SK Tok Jembal (384), Dewan Sivik Gong Badak (119), SK Tok Jiring (94), SK Tanjung Gelam (76), SK Bukit Nenas (76), SK Atas Tol (73), SK Bukit Petiti (27), SK Teluk Ketapang (11), SK Gong Tok Nasek (8) dan SK Chendering (3).

Di Marang, dua pusat pemindahan dibuka iaitu SK Rusila dan SMK Seri Payong. Kedua-dua pusat pemindahan itu menempatkan 818 mangsa membabitkan 196 keluarga.

Pada masa yang sama, sebanyak dua pusat pemindahan dibuka di Setiu menempatkan18 mangsa dari lima buah keluarga. Di Besut pula, sebuah pusat pemindahan beroperasi iaitu balai  raya Kampung Beris Pak Abu dengan menempatkan sebuah keluarga.

Portal yang sama memaklumkan tiga sungai utama di Setiu dan Marang kini melepasi paras berjaga-jaga. Sungai tersebut adalah Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri (8.43 meter), Sungai Nerus di Kampung Langkap (20.92 meter) dan Sungai Marang di Pengkalan Berangan (2.43 meter).