• Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang
1 / 1
KOTA BHARU - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai alasan untuk tidak menghadiri mesyuarat PR termasuk faktor kesihatan.

Mengakui situasi itu wujud, Penolong Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, walaupun Abdul Hadi tidak hadir dalam mesyuarat itu, Pas sudah mempunyai wakil di peringkat pemimpin tertinggi parti.

“Isu kehadiran (Abdul Hadi) itu mungkin betul tetapi Pas sentiasa menghantar wakil seperti Timbalan Presiden atau setiausaha untuk hadir mesyuarat melibatkan PR.

“Cuba periksa Pas ada atau tidak wakil, yang dihantar pula bukanlah sebarang jawatan, ia wakil tertinggi,” katanya kepada pemberita selepas majlis sumbangan kepada penarik beca di Pasar Siti Khadijah, di sini, semalam.

[ARTIKEL BERKAITAN: Wan Azizah sahkan tiada komunikasi dengan Hadi]

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mendedahkan lebih enam bulan kepimpinan PR tidak berkomunikasi dengan Abdul Hadi.

Beliau menyifatkan komunikasi antara rakan PR-PKR, Pas dan DAP sentiasa berlaku, bagaimanapun, Wan Azizah memberi harapan komunikasi terutama melibatkan Abdul Hadi masih boleh diperbaiki.

“Apa yang kita tahu, Abdul Hadi tidak sihat, dia mendapatkan rawatan di luar negara, tidak kira  enam bulan atau setahun, yang penting ada wakil hadir mesyuarat dan wakil laporan kepada parti,” katanya.

Beliau percaya kenyataan Azizah itu bukan untuk mengkritik, sebaliknya hanya menjawab pertanyaan wartawan.