• Muhammad Khalil Abdul Hadi Muhammad Khalil Abdul Hadi
1 / 1
SHAH ALAM – Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty (LFL), Eric Paulsen didesak menarik balik kenyataan yang dimuat naik di laman mikro Twitternya yang mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan ekstremisme.

Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan, Eric perlu mengemukakan permohonan maaf kepada umat Islam sekiranya kenyataannya itu merujuk kepada khutbah Jumaat.

Katanya lagi, jika peguam itu cuba menyifatkan khutbah Jumaat sebagai platform untuk mempromosikan ekstremisme atau keganasan, tindakan itu jelas merupakan satu penghinaan terhadap umat Islam.

"Apakah maksud beliau apabila menyatakan "Jakim promoting extremism every Friday"?

"Sekiranya beliau memaksudkan khutbah jumaat, ini satu tindakan penghinaan terhadap umat islam keseluruhannya.

"Saya mendesak tweet ini dipadamkan dan beliau memohon maaf kepada seluruh umat islam yang terguris dengan penghinaan ini,” katanya di Twitter, sebentar tadi.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Eric dipercayai membuat catatan di akaun Twitternya mengatakan: “Jakim sedang mempromosikan ekstremisme setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius mahu banteras ekstremisme di Malaysia”.
 

Posting Eric itu juga turut diulas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menafikan tuduhan tersebut.

Sebaliknya Jamil berkata, khutbah merupakan rukun dalam solat Jumaat yang disampaikan secara lisan dan berunsur pendidikan untuk memberi nasihat keagamaan, menaikkan semangat dan menimbulkan keinsafan.

Dalam pada itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan terhadap peguam itu yang mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan fahaman ekstremis di negara ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya akan menyiasat Pengarah Eksekutif Lawyers For Liberty itu mengikut Akta Hasutan 1948.