• NIK MOHAMAD ABDUH NIK MOHAMAD ABDUH
1 / 1
SHAH ALAM – Sebagaimana negara pernah digemparkan dengan kematian pengunjung konsert Future Music Asia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil tahun lalu, tahun ini negara sekali lagi menerima tamparan hebat oleh aksi gadis Melayu bertudung yang merelakan diri dipeluk dan dicium artis K-Pop, kata AJK Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abd Aziz.

Menurutnya, penganjuran konsert di ibu negara itu sekali lagi memalit arang kepada imej negara serta agama Islam sebagai agama rasmi negara.

“Saya merasa terkilan dengan sikap pihak berkuasa yang tidak mengambil perhatian serius terhadap masalah gejala sosial yang semakin dahsyat melanda anak muda di negara ini. Sehari demi sehari, batasan yang menjaga aturan budaya, peradaban dan kehormatan jati diri anak muda semakin longgar,” katanya menerusi satu kenyataan.

Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya belajar daripada kesilapan lepas dan menggariskan beberapa peraturan ketat berkaitan dengan sebarang penganjuran konsert di negara ini.

“Kementerian yang bertanggungjawab memberi pelepasan permit kepada ‘event’ seperti itu perlu tampil bertanggungjawab. Kedua, dewan konsert itu juga (KL Live) terdapat dua bar yang menjual arak dan telah menganjurkan banyak konsert-konsert yang melalaikan anak muda. Ini bermakna, konsert seperti itu bukanlah kali pertama dan terakhir, dan kemungkinan masalah yang sama tidak mustahil akan berulang lagi.

“Pencegahan perlu dilakukan dengan lebih tegas terutamanya perkara melibatkan hiburan untuk anak muda dan minuman beralkohol. Kedua-duanya boleh mendorong seseorang kepada zina yang akan merosakkan nilai ekonomi dan keutuhan instutusi berkeluarga. Islam telah memberikan satu garis panduan umum yang disebutkan di dalam al-Quran,” katanya lagi.