• Eric menulis kenyataan tersebut melalui Twitternya semalam. Eric menulis kenyataan tersebut melalui Twitternya semalam.
1 / 1
SHAH ALAM - Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Malaysia (IUMSM) Abdul Ghani Samsudin berkata, menuduh secara umum mengatakan khutbah Jumaat mempromosikan ekstremisme adalah tidak objektif dan tidak akademik.

Jelas Abdul Ghani, tuduhan itu juga tidak menunjukkan hakikat sebenar kerana tuduhan itu tidak memperincikan mengenai teks khutbah mana yang dikatakan mempromosikan amalan ekstremisme tersebut.

“Menuduh secara sembarangan dan secara umum dengan mengatakan setiap Jumaat , Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) promosi ekstremisme bagi saya pertama dia tidak objektif dan tidak akademik.

“Kalau benar  dia benar-benar ada objektif kena sebut khutbah yang mana dan dakwaan apa dalam khutbah itu dan bagaimana ?  Baru kita boleh nilai adakah ianya membawa ekstremisme,” katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengasas dan Pengarah Eksekutif kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL), Eric Paulsen yang didakwa mengkirik khutbah Jumaat.

Kenyataan Paulsen di laman mikro pada Jumaat yang berbunyi: “Jakim mempromosi ekstremisme setiap Jumaat. Kerajaan perlu menanganinya jika serius mengenai ekstremisme di Malaysia”, mendapat kritikan banyak pihak.