• Mohamad Noor Mohamad Mohamad Noor Mohamad
1 / 1
SHAH ALAM – Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad menyifatkan tindakan 17 AJK Pas Kawasan Batu meletak jawatan sebagai satu tindakan tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, protes berkenaan bukan sahaja tidak matang malah mendatangkan kesan kepada ahli Pas yang telah memilih pemimpin di kawasan itu.

“Tindakan mereka menyusahkan ahli apabila tiada kepimpinan di kawasan itu apatah lagi mesyuarat agung kawasan akan diadakan tidak lama lagi.

“Apa yang mereka buat tidak menjejaskan parti tetapi menyusahkan ahli mereka sendiri,” katanya ketika mengulas isu peletakan jawatan itu, semalam.

Dalam pada itu, sehingga semalam, pihaknya belum menerima surat peletakan jawatan 17 AJK berkenaan.

Namun katanya, berikutan kekosongan jawatan-jawatan berkenaan, kepimpinan negeri akan mentadbir kawasan tersebut sementara waktu.

“Bila dapat surat itu nanti, saya akan tengok dan semak isi kandungannya. Mana-mana pihak boleh letak jawatan jika itu yang mereka mahukan. Ia tidak bersalahan dengan perlembagaan parti, itu hak masing-masing. Saya juga yakin protes yang dibuat mereka itu tidak akan menjejaskan atau diikuti oleh kepimpinan Pas kawasan lain.

“Ia adalah isu terpencil yang dibuat hanya kerana tidak bersetuju dengan pucuk pimpinan yang ada,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, mana-mana pihak yang bergelar pemimpin tidak akan mampu memuaskan hati semua pihak.

Beliau percaya wujud perbezaan pendapat, namun apa yang berlaku tidak memecahbelahkan parti malah menganggap perkara itu sebagai lumrah dalam dunia politik.

“Apa yang penting, kita sebagai ahli perlu ada ketaatan terhadap pemimpin parti. Kita harus bersatu barulah parti kita akan jadi lebih baik,” katanya.