• Tengku Razaleigh Hamzah Tengku Razaleigh Hamzah
1 / 1


KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Hutang negara mencecah ke paras yang boleh menyebabkan tercetusnya krisis ekonomi dan politik pada masa akan datang.

Kebimbangan itu disuarakan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah di Dewan Rakyat, semalam.

Menurutnya, situasi itu bakal memberi kesan kepada demokrasi berperlembagaan yang mencorakkan Malaysia.

Katanya, kerajaan harus bertindak secara telus dan menyatakan kepada Dewan Rakyat mengenai keadaan semasa hutang negara.

“Saya sebagai Ahli Dewan Rakyat mengambil berat akan hutang negara. Sekiranya rakyat dibebankan lagi dengan hutang, kita berkewajipan untuk memastikan bahawa pendapatan negara digunakan untuk kepentingan rakyat dan bukannya untuk pembayaran faedah kepada si pemiutang dan pemegang bon.

“Sekiranya terdapat hutang sah dan kita bertanggungjawab ke atasnya, maka kita berhak mendapat maklumat mengenai hutang tersebut,” katanya dalam ucapan ketika membahaskan titah ucapan diraja di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata, kedudukan hutang negara akan menentukan keadaan dan kestabilan ekonomi.

“Mutu dan gaya hidup rakyat bergantung kepada dua perkara ini. Apa yang saya maksudkan hutang kerajaan adalah hutang sektor korporat dan hutang isi rumah.

“Harus diingatkan bahawa hutang isi rumah secara rasminya adalah pada tahap 87.4 peratus dan ini diakui satu-satunya yang tertinggi di Asia. Kita juga dibebani hutang korporat dan kita seharusnya mengambil berat akan perkara ini,” katanya.

Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, permasalahan yang dihadapi kerajaan pada hari ini pasti menarik perhatian umum kepada persoalan asas iaitu adakah Dewan Rakyat mampu bertindak menangani permasalahan semasa demi menegakkan ikrar ketika mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat.

“Berpandukan ikrar tersebut, saya berpendapat kita berkewajipan untuk mengetahui sebanyak manakah hutang negara itu dan apakah kemungkinan bebanannya terhadap rakyat kelak?," soalnya.

Tengku Razaleigh berkata, pada 30 Oktober 2014, menerusi surat yang dihantar kepada Ahli Dewan Rakyat, beliau mencadangkan supaya cukai barang dan perkhidmatan (GST) ditangguhkan disebabkan oleh faktor ekonomi dan kewangan awam berada di tahap kritikal.

“Rakyat juga menanggung beban hutang isi rumah yang tinggi. Oleh itu kita perlu tahu sebab GST dikenakan kerana punca pendapatan ini akan menambah beban kewangan rakyat.

“Rakyat berhak tahu sama ada GST yang akan dilaksanakan pada April ini menguntungkan negara atau ia hanya untuk membayar faedah kepada si pemiutang dan pemegang bon. Tujuan GST dilaksanakan tidak seharusnya dirahsiakan,” katanya.

Tengku Razaleigh berkata, jika beban itu dihalakan kepada rakyat tanpa alasan munasabah ia adalah tidak adil.

“Oleh itu suara hati kita semestinya jelas dan terang ketika memberi keterangan kepada rakyat kenapa GST perlu pada ketika ini.

“Sekiranya sebab perlunya berhutang dibentangkan di Dewan Rakyat dan ia didapati munasabah, tentu sekali kita dapat bertindak secara wajar terhadap niat kerajaan. Bagaimanapun, kita perlu berhati-hati mengenai sama ada kerajaan berhak mengenakan beban tambahan ini,” katanya.

Beliau turut melahirkan kerisauan terhadap penggunaan dana Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) bagi membantu institusi-institusi kewangan yang terlibat dalam pemberian pinjaman kepada perbadanan tertentu.

“Dalam hal ini, kita perlu penjelasan daripada Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak (yang juga Perdana Menteri) mengenai kedudukan KWSP dan KWAP serta jumlah pelaburan dana di dalam institusi kewangan yang dibebankan dengan pemberian pinjaman.

“Dengan sendirinya ia membawa kita kepada persoalan tatacara pemerintahan yang penting dan perlu dalam pentadbiran kewangan negara kita,” katanya.

Tengku Razaleigh juga mencadangkan supaya ahli parlimen melakukan pengisytiharan harta bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan kepentingan.

“Pengisytiharan ini perlu dibuat secara berkala dengan penubuhan sebuah badan bebas yang dibentuk melalui Akta Parlimen.

“Pengisytiharan ini hendaklah merangkumi ahli Kabinet dahulu dan sekarang serta mereka daripada sektor awam dan swasta di peringkat yang mempunyai kuasa membuat keputusan, dahulu dan sekarang,” katanya.

Ditemui di lobi Parlimen dan ditanya sama ada pemiutang yang disebut dalam ucapannya adalah pembayaran faedah pinjaman syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), beliau tersenyum dan menjawab ringkas: “Itu faham-faham sendirilah”.

Ditanya sama ada kerajaan sekarang banyak membazir, katanya: “Saya tidak sebut tentang pembaziran tetapi apa yang ditekankan adalah ekonomi negara dalam keadaan kritikal.”

Beliau juga berkata, cadangan menangguhkan GST adalah pandangan peribadinya.

“Kerajaan perlu menimbangkan cadangan berkenaan bagi mengatasi masalah yang dihadapi rakyat dan negara.

“Mereka (kerajaan) perlu mengutamakan pandangan rakyat,” katanya.